MBPP giat laksana operasi khas pembersihan longkang, siap sedia hadapi banjir

PANTAI JEREJAK – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) giat menjalankan operasi khas pembersihan longkang di sekitar Bayan Baru sebagai persediaan menghadapi banjir kilat yang dijangka berlaku mulai November ini.
Ahli Majlis MBPP, Rodziah Abul Khassim berkata operasi yang dimaksudkan adalah melibatkan kerja-kerja menyedut pasir dan kotoran di dalam longkang-longkang utama di kawasan tersebut.
“Operasi kali ini agak berbeza kerana MBPP menyewa jentera Vacuum Truck LN20 bagi menyedut pasir yang terperangkap di dalam longkang, sekiranya pembersihan tidak dilakukan maka kesan banjir akan lebih teruk.
“Kalau dilihat ketebalan pasir sebelum dan selepas disedut memang amat berbeza, dianggarkan tebal pasir sahaja cecah dua ke tiga kaki bagi longkang berkedalaman hampir dua meter.
“Apabila menggunakan jentera ini, kita boleh menjimatkan masa dan tenaga kerja, contohnya kalau nak bersihkan longkang di Mayang Pasir memerlukan lima hari secara manual tetapi dengan menggunakan jentera ia cuma memakan masa setengah hari sahaja,” ujar beliau ketika melawat operasi pembersihan longkang di sekitar Mayang Pasir dekat sini pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MBPP, Zulkifli Baharum dan Penolong Pengurus Cawangan Duromac Sales and Services Sdn. Bhd., Jeffrey Seong.
Pada 17 dan 18 Oktober lalu, operasi sama telah dijalankan di longkang berhampiran Sungai Tiram, Jalan Sultan Azlan Shah.
Difahamkan, di kawasan pulau sahaja terdapat 30 kawasan panas banjir yang disasarkan untuk dijalankan kaedah pembersihan sama.
Rodziah dalam pada itu turut menggesa orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata yang boleh memburukkan lagi keadaan banjir.
Dalam pada itu, Jeffrey Seong ketika bercakap kepada pemberita memberitahu bahawa kapasiti penuh mampu dicapai oleh jentera Vacuum Truck LN20 adalah seberat 15 tan.
“Banjir memang di luar kawalan kita, namun anda boleh lihat keberkesanan jentera ini menyedut pasir dan menjadikan longkang tersebut berfungsi pada kapsiti penuh untuk menampung air,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD