MBPP guna kaedah TNR kawal populasi anjing liar – Exco

Admin
6eab1479 617b 4c5d 9688 bc7789192a05

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menggunakan kaedah Trap, Neuter and Release/Rehome (TNR) untuk menangkap dan mengawal anjing-anjing liar di kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata penangkapan dan kawalan anjing liar dan terbiar akan dilaksanakan berdasarkan aduan yang diterima mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Satu Memorandum Persefahaman (MoU) dimeterai pada 17 Ogos 2017 antara MBPP dan Independent Aid for Protection and Welfare of Animals (IAPWA) untuk mengawal jumlah populasi anjing liar dan terbiar demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan orang awam.

“(Dan) menerusi kaedah TNR ini, dipercayai lebih berperikemanusiaan dan berkesan untuk jangka masa panjang dengan memutuskan kitaran pembiakan.

“Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang bersama-sama MBPP bakal menjalankan satu kajian mengenai “Persepsi Awam dan Keberkesanan Program TNR untuk Anjing Terbiar di Pulau Pinang” pada Jun ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Shukor Zakariah dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini pagi ini.

Mooi Lye berkata, jumlah tangkapan anjing liar bagi tahun 2022 yang direkodkan adalah sebanyak 58 ekor diikuti 64 ekor pada tahun 2023 dan sehingga April 2024 pula adalah sejumlah 22 ekor.

“MBPP mempunyai dua pasukan yang dikenali sebagai Skuad Penangkap Anjing Liar dan Terbiar yang ditugaskan khusus untuk menjalankan operasi penangkapan dan kawalan di Daerah Timur Laut dan Daerah Barat Daya.

“Namun begitu, proses menangkap anjing liar adakalanya sukar dijalankan kerana pihak MBPP perlu melalui kawasan hutan dan berbukit,” katanya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : LAW SUUN TING