MBPP hasrat hias 600 hentian bas dengan lukisan unik demi jana tarikan pelancongan

Admin
69d6ebd5 7ba1 4af0 b5d7 c50d0b131d33

GEORGE TOWN – Selepas berjaya menghias ‘lorong gelap’ di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan mural dan lampu limpah sebelum ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melangkah setapak lagi ke hadapan melalui usaha memperindah kira-kira 600 hentian bas berbumbung dengan lukisan dinding unik bagi menjana tarikan pelancong.

59f40722 5920 41c0 8be3 9d39c95e5b6a
DATUK Bandar MBPP

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng, seusai merasmikan lukisan tiga dimensi (3D) dan unik pada hentian bas berhampiran Terminal Bas Pengkalan Raja Tun Uda, yang ditaja oleh J&T Express di sini pada 26 Disember 2024.

“(Hentian bas berbumbung) ini merupakan salah satu fasiliti untuk kemudahan orang awam (yang mana) ada 600 hentian bas berbumbung di bahagian pulau.

“Kita (MBPP dengan kerjasama pihak swasta) dalam peringkat penyediaan pencahayaan di semua hentian bas berkaitan (yang mana) ini merupakan salah satu cara untuk kita meningkatkan tahap keselamatan, di samping menjadi daya tarikan baharu kepada pelancong,” jelasnya kepada pemberita.

3987cc55 1277 4ca8 bf3b 3d21f8717000
WONG Yuee Harng

Sementara itu, Yuee Harng berkata pihaknya percaya kolaborasi MBPP dan pihak swasta dalam menghias hentian bas berbumbung sekitar bahagian Pulau dengan lukisan 3D dan unik akan menjadi daya tarikan baharu pelancongan ke negeri ini.

“Kelak, pengunjung yang datang ke Pulau Pinang bukan sahaja akan mengambil gambar dengan latar belakang lukisan dinding sedia ada pada bangunan, malah mereka akan turut berpeluang merakamkan gambar di hentian bas kita kerana ada lukisan 3D yang menarik,” jelasnya lagi.

105ded3c 485b 4039 91ba 2ea90c210a27
THAM Teck Lim

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Pengurus Penjenamaan J&T Express (Malaysia) Sdn. Bhd., Tham Teck Lim berkata firma pengantar barangan tersebut di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membelanjakan kira-kira RM150,000 untuk menghias tiga hentian bas terpilih dengan lukisan 3D dan mural menarik termasuk di perkarangan depan Terminal Bas Pengkalan Raja Tun Uda di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAN NOORAZIS