MBPP jalin kerjasama dengan MAMPU tingkatkan infrastuktur digital

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Malaysia menjalin kerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi meningkatkan infrastuktur digital melalui Perkhidmatan Pusat Data Sektor Awam (PDSA).

 

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, usaha berkenaan akan meningkatkan lagi keupayaan penyediaan inisiatif-inisiatif digital melalui pekhidmatan awam seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) sekali gus memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.

 

“Kerjasama ini adalah selaras dengan hasrat MBPP ke arah pendigitalan dengan menggunakan platform MyGovCloud@PDSA yang dilihat seiring dengan Visi Penang2030 ke arah ‘Negeri Pintar’.

 

“Melalui platform ini juga, kita (MBPP) akan menikmati penjimatan jutaan ringgit.

 

“Oleh itu, saya berharap pihak Majlis (MBPP) dapat memanfaatkan kerjasama ini untuk pelaksanaan program-program melibatkan MBPP selepas ini,” ujarnya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan PDSA Antara MBPP dan MAMPU dekat Dewan Bandaraya di sini pada 7 Februari 2022.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir. A. Rajendran; Ketua Pegawai Eksekutif Transformasi Bandar Raya Pintar, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Bahagian Pembangunan Perkhidmatan dan Gunasama Infrastruktur dan Keselamatan ICT MAMPU, Nik Sharifah Nik Yusoff.

 

Difahamkan, MyGocCloud@PDSA adalah perkhidmatan pengkomputeran awan awam swasta yang ditawarkan oleh PDSA di bawah MAMPU kepada agensi sektor awam di negara ini. Dua perkhidmatan utama adalah perkhidmatan pusat data dan perkhidmatan pusat pemulihan bencana.

 

Sementara itu, Nik Sharifah dalam ucapannya berkata, PDSA membolehkan agensi sektor awam memperoleh sumber pengkomputeran awan dengan cepat, mudah dan fleksibel.

 

“Ia memberi kemudahan kepada kira-kira 207 agensi kerajaan meliputi Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri, PBT, Badan Berkanun serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) setakat ini,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI