MBPP lancar Sistem iTemu, mudahkan urusan janji temu bersemuka

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini melancarkan Sistem iTemu bagi memudahkan urusan janji temu secara bersemuka orang awam dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata bahawa mereka yang ingin berurusan secara fizikal dengan pihak Majlis perlu membuat janji temu melalui sistem tersebut terlebih dahulu.

Selain itu katanya, mereka juga perlu melakukan ujian kendiri (kit ujian kendiri) COVID-19 sehari sebelum tarikh janji temu yang ditetapkan.

SOP yang perlu dilakukan sebelum melakukan urusan bersemuka dengan pihak MBPP.

“Melalui sistem ini, orang awam yang mahu mengadakan urusan bersemuka dengan pihak Majlis perlu memuat naik keputusan ujian kit ujian kendiri COVID-19 dengan keputusan mestilah negatif ke laman web MBPP.

“Ini bermakna hanya mereka yang menunjukkan keputusan negatif sahaja akan diberikan ruang untuk berjumpa secara bersemuka dengan pihak Majlis.

“Keputusan yang dimuat naik tersebut hanya sah selama 14 hari sahaja,” katanya pada sidang media sempena pelancaran sistem tersebut dekat sini tadi.

Turut hadir, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.

Dalam pada itu, Tung Seang berkata, sehingga semalam seramai 132 orang awam yang melakukan urusan secara bersemuka bersama-sama pihak Majlis telah melakukan ujian COVID-19 dan memuat naik keputusan tersebut ke laman web MBPP.

“Inisiatif terbaru ini adalah sebagai salah satu langkah untuk mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri ini dan nampaknya ia diterima baik oleh orang ramai.

“Oleh itu, kita minta orang awam untuk menggunakan sistem ini bagi semua urusan janji temu bersemuka,” ujarnya.

Sementara itu, Jagdeep berkata bahawa Sistem iTemu merupakan inisiatif yang lebih efisien dan dapat memudahkan penyampaian perkhidmatan MBPP kepada orang ramai.

“Terima kasih kepada MBPP kerana melaksanakan inisiatif baru ini demi kebaikan dan kesihatan awam serta keselamatan semua pihak,” katanya.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila layari laman web https://itemu.mbpp.gov.my.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING