MBPP lancar stesen mini e-waste di 1st Avenue

Admin

GEORGE TOWN – Pusat membeli-belah di bandar raya George Town, 1st Avenue kini mempunyai Stesen Kitar Semula Barangan Elektronik (E-Waste) di Aras LG dekat sini.

 

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng bekata, Kerajaan Negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sememangnya mahu usaha pelupusan sisa elektronik atau dikenali sebagai e-waste ini diperluaskan supaya tidak berlaku pencemaran bahan kimia.

 

 

“Sisa elektronik ini mempunyai banyak bahan kimia berbahaya, sejak tahun 2015 MBPP sudah memulakan pelbagai usaha bersama-sama pihak swasta menumpukan usaha pelupusan e-waste ini memandangkan kesedaran pelupusannya dengan cara yang betul masih pada tahap rendah.

 

 

“Sebelum ini pelbagai usaha bersama-sama pihak swasta juga pernah saya gerakkan seperti mewujudkan 30 stesen e-waste di kawasan pulau dan 10 lagi di Seberang Perai,” ujarnya ketika hadir merasmikan stesen berkaitan di sini pada 11 Oktober lalu.

 

 

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli Majlis bagi MBPP, Benji Ang Ming Quan selaku penggerak projek serta barisan Ahli Majlis MBPP dan wakil pihak swasta.

 

 

Difahamkan, stesen kitar semula tersebut adalah hasil kerjasama MBPP dengan agensi negeri Penang Green Council (PGC) bersama-sama Lions Club dan 1st Avenue sendiri.

 

 

Dalam pada itu, Ming Quan ketika ditemui memberitahu bahawa usaha mewujudkan lebih banyak stesen kitar semula e-waste ini perlu memandangkan kepesatan teknologi terkini.

 

 

“Stesen bukan sahaja menyediakan kemudahan tetapi adalah komitmen kita kepada alam sekitar dalam memudahkan individu dan peniaga kecil untuk buang sisa e-waste dengan lebih bertanggungjawab.

 

 

“Stesen ini bersaiz mini dan diletakkan berhampiran lif di tingkat LG untuk kemudahan orang ramai dan para pemilik lot perniagaan di pusat membeli-belah ini,” katanya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT