GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan melantik Pemeriksa Bebas (Independent Checker, IC) bagi menyemak dan memberi perakuan ke atas Laporan Kajian Impak Lalulintas (TIA) mulai 1 Januari 2021.
Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata, cadangan pelantikan Ir. Lean Kok Woei dari Firma Perunding Trafik Bakti Sdn. Bhd. adalah bagi TIA untuk pemajuan-pemajuan baharu di kawasan pulau, Pulau Pinang.
“Segala kos yuran bagi pemeriksa bebas untuk menyemak TIA ini akan ditanggung oleh pihak pemaju dia ia tertakluk kepada bayaran mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh MBPP.
“Pemeriksa Bebas ini dilantik dalam kalangan profesional yang mempunyai pengalaman dalam bidang berkenaan melebihi tempoh 10 tahun.
“Semakan TIA ini adalah proses yang perlu dilakukan sebelum sebarang kelulusan diberikan oleh pihak Majlis,” ujarnya pada sidang media sejurus Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) yang berlangsung pagi tadi.
Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan MBPP.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI