MBPP lulus penggunaan ‘bersyarat’ ruang awam BIDS untuk kegunaan komersial

Admin

PADANG KOTA – Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersetuju meluluskan cadangan untuk membenarkan pindah milik Lesen Establisymen Makanan di kawasan pentadbiran MBPP melalui syarat-syarat ditetapkan.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengarah Bahagian Pelesenan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Azman Sirun dalam satu sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis di sini hari ini.

“Untuk itu (pindah milik lesen) sekarang ini kita (Majlis) akan benarkan sekiranya pemilik asal berhasrat menukar nama perniagaan kepada keluarga terdekat (ibu, ayah, dan anak).

“Berbanding yang dahulu, pemilikan tidak boleh dipindah milik, dia kena mohon baharu kerana ia merupakan high risk business, tetapi pindah milik ini hanya melibatkan kedai sahaja, tidak tertakluk kepada penjaja kecil,” jelas Azman.

 

Dalam sidang media sama, Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam turut meluluskan cadangan untuk permit penggunaan ruang awam bagi aktiviti komersial di kawasan Business Improvement District Scheme (BIDS) Jalan Gurdwara.

Menurut Datuk Bandar, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, perkara tersebut diluluskan bersyarat bagi menggalakkan aktiviti di kawasan BIDS.

“Majlis telahpun memperluaskan laluan pejalan kaki sedia ada kepada tahap yang amat selesa dan luas sejak dua tahun lalu, oleh itu jika bukan waktu puncak (penjalan kaki), premis-premis di sepanjang kawasan BIDS ini dibenarkan membuat permohonan untuk meletakkan kerusi meja di laluan ini.

“Waktu yang dibenarkan (bukan waktu puncak) iaitu dari jam 6 petang hingga 1 pagi, tertakluk pada syarat-syarat ditetapkan.

“Ini merupakan satu peluang menambah baik perniagaan pada masa sama lebih ramai akan berkunjung ke situ… cuma sekarang ini kita berdepan masalah dengan pengunggang motosikal yang kerap menggunakan laluan itu,” jelas Tung Seang lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN