SERI DELIMA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan bahawa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan RM3.3 juta bagi projek membina semula Kompleks Makanan Taman Tun Sardon demi suasana selesa para pengunjung serta peniaga di sini.
Ekoran itu, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran dan barisan Ahli Majlis berhubung inisiatif berkaitan.
“Projek ini kita jangka akan diusahakan menjelang Ogos tahun ini, dan dijangka mengambil masa 15 hingga 18 bulan untuk disiapkan.
“Tetapi, ia akan melibatkan sedikit gangguan kepada kompleks makanan sedia ada, maka saya harap Datuk Bandar, Ahli Majlis dan pihak pengurusan MBPP dapat mengaturkan perpindahan sementara ke satu kawasan lapang dalam tempoh projek dilaksanakan.
“Dalam pada itu juga, saya kira pengumuman ini agak sesuai dengan suasana malam ni (rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri), dan saya merakamkan ucapan terima kasih sekali lagi kepada pihak MBPP,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Bukit Gelugor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima sebentar tadi.
Hadir sama, ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Rajendran dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.
Ekoran keharmonian masyarakat majmuk di Pulau Pinang, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota secara seloroh mengakui berat badannya naik 5 kilogram (kg) dalam tempoh Tahun Baru Cina hingga Aidilfitri hasil daripada pemeriksaan kesihatan pagi tadi.
“Bermula Tahun Baru Cina, makan besar, bulan Ramadan, walaupun tidak puasa banyak hadir ke majlis buka puasa, masuk Syawal, makan lagi jamuan Aidilfitri, maka berat bertambah 5kg.
“Jadi, selepas ini, saya bertekad mahu turunkan berat badan 5kg lagi, cuma tidak tahu bila.
“Inilah suasana harmoni yang digambarkan di Pulau Pinang dan Malaysia, kita bersyukur, bumi kita diberkati banyak perkara baik dan rakyat dapat hidup, mencari pendapatan, peluang pekerjaan dapat diwujudkan, suasana pengurusan perbandaran serta masalah-masalah lain boleh diatasi oleh agensi-agensi kerajaan peringkat Persekutuan mahupun negeri,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Kemeriahan rumah terbuka turut diserikan dengan persembahan nyanyian, cabutan bertuah selain daripada hidangan juadah tradisi yang lazat kepada para pengunjung yang bertandang.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ALISSALA THIAN