DATUK KERAMAT – Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini telah dan sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang penguatkuasaan lanjut berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa empat sebagaimana diumumkan Perdana Menteri semalam.
Menurut Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo, cabaran utama bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pastinya terarah kepada pematuhan PKP di lokasi-lokasi awam.
“Kita memang siap sedia dan sebagai makluman semua, kita telah capai satu kadar (pematuhan) yang begitu tinggi, mungkin tertinggi di Malaysia iaitu lebih 99 peratus.
“Saya harap dalam tempoh lanjutan (fasa empat) PKP ini, kita akan terus mendapat kerjasama daripada orang awam. Ini kerana, tanpa kerjasama mereka, kita (PBT) tidak dapat capai satu kadar pematuhan begitu tinggi,” ujarnya sambil mengiringi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengedar pelitup muka percuma di Pasar Awam Jalan Kuantan dekat sini pagi ini.
Sejurus tamat program tersebut, Ketua Menteri bergerak ke Dewan Rukun Tetangga Jalan Maqbul, Sungai Pinang bagi menyampaikan 32 pek barangan keperluan harian kepada penduduk terjejas akibat PKP.
Sejurus selesai, Kon Yeow menyatakan harapannya agar sektor ekonomi yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan PKP akan pulih secara ‘soft landing’ sebagaimana saranan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Seri Dr. Noor Hisham Abdullah.
“Kerajaan Pusat juga akan umumkan kelonggaran sektor-sektor tertentu, yang membenarkan perniagaan diteruskan… kita masih menunggu keputusan itu, dan semalam telah diputuskan (di Pulau Pinang) bahawa kedai-kedai elektrik boleh beroperasi.
“Lain-lain sektor akan dibuka mengikut keadaan, kita harap dengan kelonggaran ini, seperti kata Ketua Pengarah KKM, kita keluar dari pandemik ini secara ‘soft landing’, sedikit-sedikit kelonggaran dan akhirnya semua boleh beroperasi,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.
Hadir sama, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Pengerusi Rukun Tetangga Jalan Maqbul, Asrol Shah Nizam.
Tambah Kon Yeow, pencapaian Malaysia khususnya Pulau Pinang dilihat amat baik dalam melawan COVID-19 berbanding negara-negara lain.
“Teruskan usaha ini dah diharap kita bersama-sama putuskan rantaian perebakan wabak pandemik ini,’’ serunya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : LAW SUUN TING