GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) bagi menjamin pembangunan masa depan mengambil kira keterangkuman golongan tersebut.
Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, berdasarkan kepada statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, pada tahun 2024, daripada 1.84 juta orang penduduk Pulau Pinang, 22.5 peratus atau 405,400 penduduk adalah terdiri daripada kanak-kanak (bawah umur 18 tahun ke bawah).
“Jadi adalah penting pembangunan dan perancangan masa hadapan yang dijalankan di negeri Pulau Pinang mengambil kira keperluan dan kepentingan kanak-kanak supaya golongan ini tidak ketinggalan dan bersama-sama merencana dan menyumbang kemajuan serta kemakmuran negeri.
“Ini adalah sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Developement Goals, SDG) yang mementingkan prinsip keteramkuman, menghormati hak dan keperluan semua golongan masyarakat tidak mengira latar belakang dengan memegang teguh kepada prinsip ‘leave no one behind’.
“Berpegang kepada prinsip tersebut, MBPP pada hari ini akan menandatangani MoU dengan UNICEF untuk menyatakan komitmen dan halatuju MBPP untuk menjadi sebuah bandar yang mesra kanak-kanak,” ujar beliau pada Majlis Menandatangani MoU Bersama UNICEF Sebagai Bandar Mesra Kanak-Kanak di Dewan Bandaraya MBPP pagi tadi.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis MBPP dan Deputy Representative, UNICEF Malaysia, Sanja Saranovic.
Mengulas lanjut, Rajendran memberitahu, segala pembangunan sebelum ini sememangnya MBPP merangkumkan kemudahan kanak-kanak seperti ruang dan infrastruktur khusus,yang mudah diakses dan selamat untuk mereka bermain, lokasi tidak terlindung dan mudah dilihat oleh orang ramai.
“Bagi tujuan ini, MBPP telah menyediakan kawasan tanah lapang dan juga alatan permainan kanak-kanak untuk tujuan sukan dan riadah kepada kanak-kanak.
“Sebanyak 357 tanah lapang telah disediakan dan diselenggara oleh MBPP di dalam kawasan pentadbirannya dan kita pasti berharap ianya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan kanak-kanak,” maklum beliau lagi.
Antara inisiatif melibatkan MBPP dan mesra kanak-kanak lain yang disenaraikan Rajendran adalah pembangunan Maker Space di Balik Pulau dan George Town, sewaan minimum kepada badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Down Syndrome Pulau Pinang, terlibat dalam projek pusat jagaan kanak-kanak kanser, Anugerah Sekolah Hijau, penyediaan peronda lalu lintas bagi sekolah-sekolah dan banyak lagi.
“Saya percaya bahawa bandar mesra kanak-kanak ini bukan hanya sekadar menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur, ia juga mampu memupuk budaya hormat-menghormati, persefahaman dan perpaduan di antara generasi.
“Ia adalah tentang mewujudkan satu bandar di mana semua orang rasa dihargai, diberi hak untuk bersuara, memberikan pendapat dan dihubungkan dengan komuniti.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD