GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara yang menggunakan platform e-dagang eksklusif bagi membantu para peniaga kecil dan penjaja di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif Jom Beli Online @MBPP (JBO@MBPP) bakal menjadi tarikan terbaharu terutama kepada para peniaga kecil dan penjaja yang mahu berjinak-jinak dalam urus niaga semasa.
Objektif utama adalah sebagai sistem sokongan kepada para peniaga tempatan untuk meningkatkan jualan serta sebagai persediaan untuk mereka menghadapi cabaran urus niaga pada masa hadapan.
Pada peringkat permulaan, inisiatif ini akan menumpukan kepada para peniaga di Kompleks Makanan seliaan MBPP sahaja dan sekiranya mendapat sambutan, akan diperluaskan lagi inisiatif ini.
“Syabas dan tahniah kepada MBPP atas kejayaan memperkenalkan satu lagi inisiatif bagi membantu para peniaga berurus niaga menggunakan konsep secara dalam talian terutama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya sempena Majlis Pelancaran JBO@MBPP yang disiarkan secara langsung melalui Facebook @Majlis Bandaraya Pulau Pinang di sini pagi ini.
Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seng; Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta wakil Ketua-ketua Jabatan MBPP berkaitan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap dengan adanya platform JBO@MBPP berkaitan, ia dapat membantu memulihkan sektor peniagaan kecil yang terjejas akibat pelaksanaan PKP.
“Melalui JBO@MBPP ini, peniagaan akan memperoleh bayaran daripada hasil jualan dalam tempoh tiga hari dari tarikh urus niaga.
“Malah, dengan adanya ruang peniagaan secara dalam talian ini, para peniaga kecil serta penjaja tidak akan ketinggalan mempromosikan produk mereka selain mampu menjana pendapatan lebih.
“Urusan penghantaran makanan juga ditambah baik, yang mana, pelekat label yang tertera ‘Jangan Terima Sekiranya Label Terkoyak’ turut disediakan sebagai jaminan terhadap keselamatan makanan kepada pelanggan.
“Maka, saya berharap, para peniaga kecil serta penjaja di sini (bahagian pulau) dapat menyokong inisiatif ini dan menjadikannya salah satu medium terbaik untuk mengembangkan semula perniagaan yang mungkin terjejas dalam tempoh ini,” jelasnya yang turut menunjukkan demonstrasi pembelian menggunakan JBO@MBPP.
Dalam pada itu, Tung Seang ketika ditemui memberitahu bahawa sebagai permulaan, pihaknya memberi tumpuan kepada para peniaga kecil dan penjaja di Kompleks Makanan MBPP.
“Jadi pelanggan yang berada dalam radius tujuh kilometer dapat memesan makanan yang disediakan di Kompleks Makanan MBPP terdekat dan makanan akan dihantar oleh rakan penghantar, DeliverEat, dalam tempoh masa 45 minit.
“Selain peniaga kecil dan penjaja, pihak kami juga akan memperluaskan inisiatif ini kepada para peniaga di bazar Ramadan serta pasar-pasar awam terpilih.
“Bagi peniaga di bazar Ramadan, buat masa ini masih di peringkat perbincangan dengan para penganjur bazar (29 penganjur bazar Ramadan berdaftar),” ulasnya.
Membawa slogan ‘Sokonglah Penjaja Kita’, para pelanggan tidak perlu memuat turun aplikasi khas. Hanya layari portal rasmi MBPP dan klik pada tetingkap Jom Beli Online @MBPP. Bayaran boleh dibuat menggunakan e-wallet atau melalui online banking.
Bagi peniaga kecil dan penjaja yang berminat untuk menyertai inisiatif JBO@MBPP, sila hubungi talian 016-200 4082.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : CHAN KOK KUAN Video : ALVIE CHENG