PADANG KOTA – Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Bilangan 04 Tahun 2025 telah meluluskan cadangan kertas kerja membenarkan haiwan peliharaan dibawa masuk di dalam premis establisymen makanan.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Tan Soo Siang berkata bahawa setakat ini lebih daripada 20 kafe telah menyediakan perkhidmatan mesra haiwan.
“MBPP menjadi PBT (pihak berkuasa tempatan) pertama di Malaysia yang memperkenalkan lesen mesra haiwan peliharaan di premis makanan.
“Kita mengambil langkah ini demi keselamatan orang ramai, sekiranya premis tersebut mesra haiwan maka pengusaha harus meletakkan pelekat yang menunjukkan kafe tersebut mesra haiwan.
“Langkah itu juga penting bagi mengelakkan individu yang mempunya alergi atau takut kepada haiwan peliharaan daripada memasuki premis tersebut,” ujarnya dalam sidang media selepas Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 04 Tahun 2025 di Dewan Bandaraya MBPP Padang Kota di sini pagi tadi.
Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey, Tan Soo Siang, Benji Ang Ming Quan serta ramai lagi.
Mengulas lanjut, Soo Siang memaklumkan bahawa fi lesen bagi kategori tersebut masih sama dengan fi lesen kafe biasa.
Difahamkan, perbincangan lanjut bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang juga masih lagi berjalan bagi memperhalusi peruntukan undang-undang sedia ada.
Dalam perkembangan lain, Jie Wey memberitahu cadangan pelaksanaan tempat letak kereta had parkir dua jam sudah diluluskan oleh MBPP.
“Sebahagian Lebuh King-Lebih Bishop dengan 52 petak parkir akan terlibat dengan sistem tersebut.
“Proses pelaksanaan mungkin tiga hingga enam bulan dari sekarang, kenderaan cuma dibenarkan parkir dua jam maksimum, lebih daripada itu kereta akan ditunda.
“Tujuan pelaksanaan sistem ini adalah untuk memastikan pergerakan kenderaan daripada parkir itu berlaku dan ia secara langsung membantu perniagaan-perniagaan setempat di situ.
“Ia akan digazetkan kelak dan berkemungkinan akan dilaksanakan di kawasan lain juga,” katanya lagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD