PENGKALAN KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukan RM17,500 bagi operasi pembersihan bahagian atas Kompleks Makanan Lebuh Cecil yang berakhir semalam.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berkata kerja-kerja tersebut telah dimulakan sejak 23 April lalu.
“Sungguhpun pembersihan tandas dan lantai memang dijalankan oleh Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) MBPP, namun pembersihan bahagian atas seperti kipas pengudaraan, lampu dan bahagian lain dilihat agak berisiko.
“Jadi MBPP melantik kontraktor untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan agar kebersihan kompleks makanan ini bukan sahaja bersih di bawah tetapi juga bahagian atas.
“Kita jangka kerja pembersihan perlu dijalankan satu atau dua kali setahun mulai tahun hadapan bergantung kepada tahap kebersihan,” ujar Yuee Harng pada sidang media sempena Program Edar Bunga di Kompleks Makanan Lebuh Cecil, kelmarin.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; Ahli Majlis MBPP, Benji Ang Ming Quan dan Quah Boon Lim serta Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Hui Ying ketika bercakap kepada pihak media memberitahu Kompleks Makanan Lebuh Cecil dijangka akan dapat dinaik taraf selewat-lewatnya tahun hadapan.
Antara naik taraf yang dijangka terlibat adalah tandas, pemasangan bumbung menghubungkan kompleks makanan dan pasar awam dan lain-lain lagi.
“Sebelum ini saya telah berjumpa dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming sambil menyatakan hasrat tersebut yang mungkin boleh dibantu oleh kementerian berkaitan.
“Beliau bagi jaminan akan cuba membantu dan kita perlu tunggu peruntukan untuk merealisasikannya.
“Seperti kita tahu, Kompleks Makanan Lebuh Cecil ini bukan sahaja dikunjungi oleh pelanggan tempatan bahkan menjadi tumpuan para pelancong,” maklum Hui Ying lagi.
Difahamkan sebanyak 600 kuntum bunga teluki diedarkan kepada kaum ibu di Kompleks Makanan Lebuh Cecil yang disambut 12 Mei setiap tahun.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI