MBPP peruntuk RM700,000 bina semula tangga blok A dan B Taman Free School

Admin

DATOK KERAMAT – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan RM700,000 bagi meroboh dan membina semula tangga blok A dan B Projek Perumahan Awam Taman Free School.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata langkah tersebut terpaksa diambil susulan berlaku keretakan serius yang dipercayai berpunca daripada mendapan.

“MBPP mendapati terdapat beberapa keretakan dikesan di blok A yang memerlukan ia ditutup, dan penghuni di 15 unit yang terlibat juga terpaksa dipindahkan sementara kerja-kerja pembaikan dijalankan.

 

“Jadi tujuan saya datang hari ini adalah untuk memantau keadaan sementara menunggu kerja-kerja pembaikan yang dijangka siap pada September ini.

 

“Diharapkan projek ini dapat disiapkan secepat mungkin supaya penduduk boleh kembali semula ke kediaman masing-masing,” ujar beliau dalam satu sidang media yang diadakan dekat sini pagi tadi.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Ir. A. Rajendran.

Jagdeep dalam pada itu turut mengumumkan kelulusan bagi kerja-kerja mengecat semula blok A sehingga blok K melibatkan peruntukan RM390,000.

 

“Ia akan dimulakan secara berfasa dan saya harap projek mengecat semula ini dapat disiapkan dalam tahun ini juga.

 

“Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan ini, suka saya memaklumkan bahawa MBPP telah membelanjakan RM12.475 juta bagi menyelenggara perumahan awam di DUN ini yang mana sebanyak RM11.9 juta adalah untuk Taman Free School,” jelas beliau lagi.

 

Sementara itu, Rajendran ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa MBPP juga memperuntukkan RM4.039 juta bagi pembinaan semula lif serta pendawaian elektrik bagi blok L, M dan N sejak tahun 2021 hingga 2022.

 

Difahamkan, bagi permulaan 2022, MBPP juga berhasrat memulakan Projek Penaiktarafan Sistem Saliran di persimpangan Jalan Terengganu dan Jalan P. Ramlee.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : CHAN KOK KUAN