MBPP rangkul anugerah berprestij Climathon Global Awards, tewaskan lima bandar raya

 GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima pengiktirafan antarabangsa apabila merangkul anugerah berprestij Climathon Global Awards bagi kategori bandar raya pada majlis yang berlangsung dekat Paris, Perancis pada 31 Januari lalu.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pengiktirafan tersebut diperolehi melalui usaha MBPP dalam menangani perubahan iklim di bawah program Pelan Pengadaptasian Iklim Berasaskan Semulajadi.

 

Menurutnya, Pulau Pinang menerima anugerah tersebut itu selepas berjaya mengatasi lima daripada 100 bandar raya yang disenarai pendek iaitu Dublin (Ireland), Khartoum (Sudan), Salvador (Brazil) dan Miami (Amerika Syarikat).

 

“Antara perkara yang dipertimbangkan dalam anugerah ini adalah bagaimana bandar-bandar terbabit menyahut cabaran perubahan iklim ketara sedunia sekarang.

 

“Dan jelas, MBPP telah menunjukkan usaha-usaha kita untuk menyahut cabaran ini melalui pelbagai inisiatif hijau di bawah program-program berkaitan penurunan kesan karbon di negeri ini yang telah berjaya.

 

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan ucapan tahniah, dan usaha kita selama ini akan dipertingkatkan lagi kerana ini adalah selaras dan selari dengan agenda negeri Pulau Pinang untuk menjadi sebuah negeri hijau, bersih, selamat, sihat dan pintar,” ujar Jagdeep dalam sidang media pagi ini.

 

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Pengarah Projek bagi Think City, Matt Benson.

 

Kemenangan tersebut membolehkan MBPP membawa pulang hadiah bernilai €60,000 (RM273,585) sebagai pelaburan bagi projek dan sokongan teknikal daripada European Institute of Innovation Technology (EIT)-KIC Network selaku penganjur.

 

Difahamkan projek-projek terlibat termasuklah penanaman pokok, mitigasi banjir, kesedaran social, bantuan kepada pihak hospital serta pemindahan kemahiran kepada bandar lain di Malaysia.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep memberitahu bahawa dalam penambahbaikan Pengadaptasian Iklim Berasaskan Semulajadi, MBPP bersama Think City dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) turut menghantar kertas kerja kepada World Banks’ Adaptation Fund bagi permohonan dana USD10 juta pada Januari lalu.

 

“Sekiranya berjaya, program tersebut (Pelan Pengadaptasian Iklim Berasaskan Semulajadi berskala besar) akan dimulakan pada tahun ini dan disiapkan dalam tempoh lima tahun,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

 

Sementara itu, Matt Benson ketika berucap berkata dana tersebut antara lain akan digunakan untuk projek penanaman pokok sekitar George Town sebagai pelan mitigasi peningkatan suhu.

 

 

 

“Kedua, ia akan digunakan bagi mitigasi banjir dan pemeliharaan tadahan air dan komponen ketiga adalah bekerjasama dengan komuniti dalam memastikan kesedaran serta daya tahan terhadap pemanasan global,” katanya lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : ALISSALA THIAN