BAYAN LEPAS – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bercadang untuk membangunkan sebuah taman kejiranan dekat Sungai Ara, di sini membabitkan kos RM2 juta bagi memenuhi keperluan penduduk setempat yang semakin meningkat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz berkata projek tersebut merupakan sebahagian Projek Pembangunan Sungai Ara Fasa 2 yang dinamakan sebagai Taman Kejiranan Lilitan Sungai Ara.
“Taman berskala besar ini akan dibangunkan di atas Lot 1102, dengan keluasan 7,743.60 meter (m) persegi (kira-kira 1.91 ekar).
“Kos pembangunan taman ini akan dibiayai sepenuhnya oleh MBPP tetapi jumlah peruntukan keseluruhan bagi projek ini masih belum diumumkan lagi,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi semalam.
Azrul Mahathir berkata, bagi meningkatkan lagi kemudahan riadah penduduk setempat, dua buah jambatan turut untuk menhubungkan taman tersebut dengan Projek Pembangunan Fasa Pertama Sungai Ara yang telah siap.
“Saya telah memohon peruntukan daripada Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Mohamad Bakhtiar Wan Chik untuk membiayai kos pembinaan dua jambatan tersebut.
“Perancangan asal adalah untuk membina jambatan yang dilengkapi dengan kemudahan lampu jenis diod pemancar cahaya (LED), panel solar, kepingan Polycarbonates (PC) dan lain-lain yang menalan kos kira-kira RM800,000.
“Namun begitu, bagi menjimatkan kos, saya telah memutuskan untuk menggunakan reka bentuk jambatan baharu yang lebih ringkas tetapi lebih praktikal dan paling penting adalah ia dapat memenuhi keperluan penduduk.
“Apabila siap kelak, taman ini akan memberikan manfaat kepada ribuan penduduk sekitar selain mampu menarik lebih ramai pengunjung ke sini,” katanya yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Azrul Mahathir berkata, Taman Kejiranan Lilitan Sungai Ara bakal menjadi taman berskala berskala besar dan serba lengkap yang pertama di dalam Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bayan Lepas apabila siap kelak.
“Ini kerana Taman Jajar Sungai Ara sebahagian besarnya berada dalam KADUN Batu Maung, jadi boleh dikatakan Taman Kejiranan Lilitan ini merupakan yang paling besar yang ada di kawasan ini (Bayan Lepas).
“Dengan populasi dan pembangunan yang semakin pesat kawasan Bayan Lepas, saya percaya ruang riadah awam merupakan infrastruktur penting yang boleh memenuhi keperluan masyarakat dari pelbagai peringkat umur.
“Oleh itu, saya menyokong penuh dan akan terus mempromosikan projek ini bagi mewujudkan persekitaran komuniti yang hijau dan sihat,” kata Azrul.
Difahamkan, rancangan pembinaan taman berkenaan kini berada pada peringkat tender yang mula dibuka pada 10 Mac lalu dan kerja-kerja pembinaan dijangka akan dimulakan tidak lama lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN