MBPP sasar kadar kitar semula capai 50 peratus tahun depan

photo 2024 08 17 16 45 41

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan kadar kitar semula di kawasan pulau mampu capai 50 peratus pada tahun 2025.

 

Menurut Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendaran, kadar kitar semula bagi kawasan pulau kini adalah 41.7 peratus.

 

“Adalah penting untuk kita meningkatkan kadar kitar semula memandangkan tapak pelupusan sampah yang tinggal di Pulau Pinang hanya di Pulau Burung, Seberang Perai Selatan (SPS), itupun cuma tinggal fasa tiga sahaja, (fasa) dua dan satu sudah penuh.

 

“Untuk makluman semua, bagi tahun 2023, sebanyak 240,325 tan sampah dijana manakala 172,492.19 tan sisa kitar semula dikutip dan dilencongkan daripada memasuki tapak pelupusan sisa. 

 

“Ini bermakna masih banyak sisa-sisa yang boleh dikitar semula tidak diasingkan dan akhirnya memasuki tapak pelupusan,” ujarnya pada Majlis Perasmian Pusat Pengasingan Sisa Di Punca bagi kawasan Lebuh Cecil di sini kelmarin.

 

Perasmian pusat tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng.

 

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

 

Mengulas lanjut, Rajendaran memberitahu, pusat pelupusan di Pulau Burung cuma dijangka dapat bertahan sehingga tahun 2036 sahaja sekiranya tiada usaha dilakukan dalam mengurangkan penghasilan sisa.

 

“Selepas pelancaran semula Pengasingan Sisa Di Punca pada Julai lalu, kita telah berjaya melaksanakan kitar semula sebanyak 19,400 tan dan jumlah ini bukan sedikit untuk tempoh lebih sebulan ini.

 

“Saya harap ia dapat ditambah baik dari semasa ke semasa dalam melestarikan alam sekitar di Pulau Pinang,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALISSALA THIAN