MBPP sasar pasar awam capai gred A secara berperingkat

photo 2024 08 12 10 29 40 (5)

PAYA TERUBONG – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sasar mahu capai gred A secara berperingkat bagi penilaian tahap kebersihan di 25 pasar awam bawah seliaannya.

 

Menurut Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, setakat ini cuma lima pasar awam mempunyai penilaian gred A (pemarkahan 86 hingga 100 peratus).

 

“Walau bagaimanapun 80 peratus daripada 25 buah pasar awam di bahagian pulau masih mendapat gred yang memuaskan, A dan B (pemarkahan 71 hingga 85 peratus).

 

“Atas usaha Ahli-ahli Majlis MBPP dan kakitangan Majlis, lima pasar awam berjaya mencapai gred A iaitu, Pasar Awam Chowrasta; Pasar Awam Kampung Baru; Pasar Awam Pagar Buloh; Jalan Rajawali dan Teluk Kumbar Height.

 

“Kalau ada yang gred C itu pun mungkin sebab terlibat dalam proses naik taraf,” ujar Rajendran kepada pemberita sejurus merasmikan Kempen Kebersihan Pasar Awam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik 2024 dekat Kompleks Pasar Awam & Penjaja Taman Terubong Jaya di sini pagi tadi.

photo 2024 08 12 10 29 40 (4)

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong serta Ahli-ahli Majlis MBPP.

photo 2024 08 12 10 29 40

Ahli Majlis MBPP, Tan Soo Siang dalam pada itu memberitahu, pihaknya sebelum ini turut berusaha berjumpa pengerusi persatuan dalam membincangkan isu meningkatkan kebersihan pasar.

 

“Kita perlu fokus soal kebersihan melibatkan tandas, parit, kawasan penjaja dan lain-lain bagi memastikan gred kebersihan pasar mampu capai A.

 

“Selain itu kita harap bajet yang lebih dapat diperuntukkan untuk tambah baik fasiliti supaya kebersihan dapat ditingkatkan,” katanya lagi.

 

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING