MBPP sasar sedia kemudahan mesra warga emas menjelang Disember 2025

b73b0ca8 1e72 47b9 a259 c19aad6db821

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menyasarkan untuk menyediakan kemudahan mesra warga emas yang menepati piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu menjelang Disember 2025.

a5119bfa a18f 41f2 9160 ca866aaf82e3

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A.Rajendran berkata bahawa setakat ini 60 peratus kemudahan meliputi lapan domain yang digariskan telah berjaya diwujudkan.

“Selaras dengan jangkaan bahawa Pulau Pinang akan bergerak ke arah ‘negeri tua’ menjelang 2030, kita bersama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Malaysia Health Society (MHS) selaku penasihat projek akan membantu kita mencapai sasaran tersebut.

“Sekarang MBPP memfokuskan kepada pelaksanaan kajian dan pelan tindakan ke arah itu yang meliputi lapan domain utama merangkumi perumahan, pengangkutan, kemudahan luaran, sosial, sivik, komunikasi dan informasi serta sokongan komuniti dan kesihatan,” ujarnya dalam sidang media usai mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis dekat Dewan Bandaraya, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Chong Chee Hong; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Ketua-ketua Jabatan.

Mengulas lanjut, Rajendran memaklumkan bahawa pihaknya turut bekerjasama dengan pihak Rose Charity bagi membangunkan sebuah pusat kegiatan warga emas dekat sebuah banglo milik MBPP di Air Itam.

“Antara aktivti yang dibangunkan di situ termasuklah pertanian bandar dan kegiatan-kegiatan yang bersesuaian dengan warga emas yang dijangka beroperasi Oktober tahun ini,” jelasnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI