MBPP satu-satunya PBT ada Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia, terima pengiktirafan KPKT

c7fd2875 a367 4f2d a95a e6bd6dd0a711 SESI temu ramah Rabiatul Adawiyah Rohaimi di Komtar pada 22 Oktober 2024.
MENJELANG tahun 2040, Pulau Pinang yang merangkumi bahagian Pulau dan Seberang Perai dijangka menjadi negeri menua.
Secara umum, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telahpun membuat klasifikasi masyarakat menua kepada tiga fasa iaitu masyarakat menua (7 peratus hingga 13 peratus), masyarakat tua (14 peratus hingga 19 peratus) dan masyarakat sangat tua (20 peratus dan ke atas).
Pada tahun 2023, didapati bahawa di bahagian Pulau negeri ini telah mencapai status populasi menua yang mana rakyat berusia 65 tahun dan ke atas adalah berjumlah 136,490 orang (7.7 peratus).
Lalu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah melancarkan Projek Bandar Mesra Usia Emas (2023-2025) pada 7 September lepas, dengan berpandukan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Langkah proaktif MBPP bagi menangani isu masyarakat bandar raya menua di sini turut melibatkan dua pihak lain iaitu Perbadanan  Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Malaysia Healthy Ageing Society (MHAS).

e125baa1 f491 4b94 a40a e56b5f7aeedd

Pegawai Perancang Bandar & Desa di Jabatan Perancangan Pembangunan MBPP, RABIATUL ADAWIYAH ROHAIMI memberitahu bahawa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan baru-baru ini menerima Anugerah Prihatin Warga Emas dalam majlis anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Setahu saya, MBPP merupakan satu-satunya PBT yang mempunyai Pelan Tindakan Strategik Mesra Usia ini… bertempoh sehingga tahun 2025 kerana mengambil kira pelaporan kepada WHO; pelan ini berterusan sebenarnya selepas tahun 2025.
“Hanya ada tiga PBT mendapat anugerah iaitu MBPP, Majlis Daerah Machang dan Majlis Perbandaran Selayang.
“Kolaborasi MBPP dengan PWDC yang mana PWDC yang mengetuai usaha merealisasikan pelan strategik ini sementara kita (MBPP) adalah ejen pelaksana pelan strategik yang terdiri daripada lapan domain berkaitan,” jelasnya dalam sesi temu ramah di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini pada 22 Oktober 2024.
Wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, ALISSALA THIAN diberitahu bahawa Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia : Pulau Pinang (Pulau) mempunyai lapan domain.
Lapan domain tersebut adalah;
  • Ruang Awam dan Bangunan
  • Pengangkutan
  • Perumahan
  • Penglibatan Sosial
  • Saling Menghormati dan Keterangkuman Sosial
  • Penglibatan Sivik dan Peluang Pekerjaan
  • Komunikasi dan Informasi
  • Sokongan Masyarakat dan Perkhidmatan Kesihatan

Domain 1 : Ruang Awam dan Bangunan

Bawah Domain 1 ini, Rabiatul Adawiyah menjelaskan bahawa beberapa taman awam telahpun dikenal pasti untuk kerja-kerja menambah baik dan naik taraf supaya mesra usia emas.
“Taman Kejiranan Sungai Ara telah siap ditambah baik dan naik taraf pada Mac 2019; begitu juga Taman Kejiranan Bukit Jambul (14 Oktober 2023), Taman Jajar Esplanade (31 Oktober 2023) dan Taman Lintang Penara (Oktober 2023).
“Projek menaik taraf Taman Kejiranan Lengkok P. Ramlee dijangka siap pada bulan Disember 2024.
“Bawah Domain 1 ini juga, Jabatan Konservasi Warisan MBPP akan menaik taraf bahagian dalaman Dewan Bandaraya dan ruang sewaan dengan menambah elemen seperti tanda mesra Orang Kurang Upaya (OKU), AED (Bantuan Asas Hayat) serta elemen reka bentuk sejagat mengikut  Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town (RKK TWDGT)…yang dijangka siap pada Disember 2024.
“Jabatan Konservasi Warisan MBPP juga menyasarkan kerja-kerja menaik taraf lorong belakang dan bahagian tepi jalan di sepanjang Jalan Sri Bahari hingga Jalan Argyll siap pada Disember 2024,” jelasnya lagi.
Domain 2 : Pengangkutan
Rabiatul Adawiyah menjelaskan bahawa bilangan bas awam sejumlah 232 unit pada tahun 2023 akan ditambah kepada 252 buah menjelang Disember 2024.
“MBPP sebagai rakan kongsi (manakala) Rapid Penang sebagai organisasi yang bertanggungjawab (OB).
“Perkhidmatan pengangkutan khas untuk menampung keperluan warga emas dan OKU terutama kepada mereka yang menggunakan alat bantu bergerak seperti kerusi roda akan diusahakan secara berterusan di bawah Domain 2 : Pengangkutan ini,” katanya sambil berharap kebolehcapaian perkhidmatan pengangkutan awam oleh warga emas akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa.
Domain 3 : Perumahan 
Rabiatul Adawiyah menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang telahpun melaksanakan garis panduan pembangunan perumahan mesra warga emas di kawasan pentadbiran MBPP.
“Kalau ikut rekod kita, telah ada tujuh perumahan mesra warga emas berdasarkan Garis Panduan Pembangunan Perumahan Mesra Warga Emas… contohnya Eden @Botanica CT dekat Balik Pulau.
“Kalau projek perumahan biasa, pemaju hanya membina unit kediaman bertanah atau unit kediaman berstrata.
“Berdasarkan Garis Panduan Pembangunan Perumahan Mesra Warga Emas, kawasan kediaman ini ada pusat jagaan warga emas yang mana unit kediamannya adalah reka bentuk sejagat dan mesra warga emas seperti ada ‘ramp‘ dan sebagainya,” jelasnya lagi.
Domain 4 : Penglibatan Sosial
Rabiatul Adawiyah memberitahu bahawa MBPP bersama-sama rakan kongsi seperti  St. Nicholas’ Home for the Blind, Persatuan Pekak Pulau Pinang dan Persatuan Talasemia Pulau Pinang menganjurkan kelas asas Kod Braille, kelas bahasa isyarat (dua kali setahun) dan ‘Let’s Walk With Thalassemia’.
“Matlamatnya adalah menyediakan pelbagai peluang inklusif dengan menggalakkan penyertaan aktif dan hubungan sosial dalam kalangan penduduk yang lebih tua; memupuk semangat kekitaan yang bermakna; seiringan dengan usia mereka,” ujarnya lagi.
Domain 5 : Saling Menghormati dan Keterangkuman Sosial
Berdasarkan Domain 5 ini, Rabiatul Adawiyah berkata ‘Zero Burden Bazaar’ diwujudkan bagi menyediakan aktiviti bersama-sama (kelompok) kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas untuk menyokong gaya hidup penuaan aktif.
“Kita menyasarkan pada Disember 2024, Jabatan Perancangan Pembangunan MBPP bersama-sama Jabatan Kesihatan Persekitaran (MBPP), Rose Charities International, NGO (pertubuhan bukan kerajaan), Jabayan Kesihatan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat membangunkan Pusat Aktiviti Warga Emas di 252A, Jalan Air Itam – dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Al-Mashoor (Lelaki) – yang mana ia adalah pusat aktiviti bagi masyarakat membina ikatan perhubungan kuat dan rasa dihargai.
“Pusat Aktiviti Warga Emas ini bukan pusat jagaan warga emas atau tempat tinggal warga emas, sebaliknya tempat khas untuk warga emas melakukan aktiviti mereka sahaja,” katanya sambil memberitahu bahawa MBPP turut menyediakan van mobiliti khas ala Rapid Penang untuk pergerakan warga emas melakukan aktiviti di situ.
Domain 6 : Penglibatan Sivik dan Peluang Pekerjaan
Jelas Rabiatul Adawiyah, domain keenam ini bermatlamat masyarakat menua di bahagian Pulau diberi peluang untuk menyatakan pandangan dengan menggalakkan penglibatan mereka secara aktif melalui peluang pekerjaan, sukarelawan dan sebagainya.
“Kontrak perkhidmatan komuniti dianugerahkan kepada penduduk di projek perumahan awam bagi tujuan pembersihan dan keselamatan (yang mana) sekurang-kurangnya 75 peratus peluang pekerjaan dalam bidang pembersihan dan keselamatan diberikan kepada warga emas,” jelasnya sambil memberitahu garis masa bagi pelaksanaan tempoh kontrak yang diperbaharui adalah 1 April 2024 hingga 31 Mac 2027.
Domain 7 : Komunikasi dan Informasi
Rabiatul Adawiyah berkata MBPP sejak Julai 2024 telah siap mengkaji semula semua pengumuman sama penting yang telah tersedia.
“Jabatan Pengurusan Korporat dan Komuniti MBPP pada September 2024 bekerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang dan St. Nicholas’ Home for the Blind bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk menyampaikan mesej kepada OKU pendengaran dan penglihatan,” jelasnya sambil memberitahu bahawa pelaksanaan Pelan Tindakan Stratgegik Bandar Mesra Usia : Pulau Pinang (Pulau) ketika ini telah menerima penyertaan kira-kira 20 NGO.
Domain 8 : Sokongan Masyarakat dan Perkhidmatan Kesihatan 
Rabiatul Adawiyah memaklumkan bahawa mulai bulan Januari hingga Disember 2025 Kempen Kesedaran Kesihatan akan dilaksanakan dengan melibatkan rakan kongsi seperti Jabatan Kesihatan Negeri, jabatan-jabatan dalaman MBPP lain, selari dengan status penduduk bandar raya yang kian menua.
8ae2a23f 76d4 41d1 9442 5b529215a396
RABIATUL Adawiyah Roshaimi (tiga dari kiri) merakamkan hambar kenangan bersama-sama ‘pasukannya’ seusai sesi temu ramah di Komtar pada 22 Oktober 2024.

Mengakhiri bicarawara, Rabiatul Adawiyah berkata paling mencabar kerana tidak ada ‘acuan’ semasa Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia : Pulau Pinang (Pulau) diwujudkan.

“Setakat ini banyak NGO berjaya dilibatkan bagi merealisasikan pelan tindakan strategik ini…kira-kira lebih 20 NGO.
“Selain garis panduan WHO, kita (MBPP) juga melihat pelan perancangan strategik beberapa negara seperti (Republik Rakyat) Singapura dalam soal mendepani isu masyarakat menua.
“Seperti Singapura, di Malaysia ini baru ada empat PBT iaitu MBPP, Majlis Perbandaran Taiping, Majlis Bandaraya Ipoh dan Majlis Daerah Bandaran Sibu yang berdaftar di bawah WHO sebagai ‘Bandar Mesra Usia’.
“Selepas mendapat pengiktirafan Anugerah Prihatin Warga Emas daripada KPKT, usaha berkaitan tidak terhenti di sini.
“Macam sekarang kita (MBPP) sedang menjalani proses pemantau dan penilaian (berdasarkan Pelan Tindakan Strategik Bandar Mesra Usia : Pulau Pinang (Pulau) untuk kita memperbaiki dan menambah baik lagi pelan tindakan sedia ada mengikut keperluan semasa khususnya masyarakat menua di bandar raya ini.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat – termasuk empat kakitangan MBPP di bawah unit pelaksana pelan strategik ini – di sebalik kejayaan menerima Anugerah Prihatin Warga Emas baru-baru ini.
“Perancangan terdekat, adalah penganjuran Malaysia 50+ Expo pada 26 dan 27 Oktober 2024 di SPICE Arena (Bayan Baru) dengan tema Pulau Pinang Bandar Mesra Usia, yang akan dirasmikan oleh Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim,” jelasnya lagi kepada Buletin Mutiara.
END