MBPP sedia tangki isi semula di kompleks, pasar dan tapak penjaja

Admin
img 3661

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menyediakan 98 unit tangki air di kompleks, pasar dan tapak penjaja milik pihak berkuasa tempatan (PBT) itu yang terjejas dengan gangguan air bekalan air berjadual pada 10 hingga 14 Januari ini.

 

 

Menurut Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran, semua tangki berkapasiti 2,271 liter itu sudah mula dihantar ke pasar, kompleks dan tapak penjaja yang tiada kemudahan (tangki) tersebut.

 

 

“Bagi pengisian semula air di tangki, lori tangki air akan disediakan untuk pengagihan.

 

 

“Pihak Majlis akan menempatkan kakitangan di setiap lokasi terjejas untuk memantau dan menyelia keadaan semasa serta melaporkan kepada Bilik Gerakan Majlis bagi isian semula,” ujar beliau dalam satu sidang media di Dewan Bandaraya MBPP di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBPP dan Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP, M. Bawani.

 

 

Rajendran dalam pada itu, menasihatkan orang ramai agar menggunakan sumber air secara berhemah dan menyimpan air lebih awal.

 

 

“Elakkan guna air bagi tujuan penggunaan yang banyak seperti cuci baju dan sebagainya, lakukan lebih awal, kalau semua individu bekerjasama, akan memudahkan semua pihak.

 

 

“Para peniaga pula adalah digalakkan untuk menjual secara bungkus sahaja dan dalam tempoh terjejas, Majlis tidak akan mengambil tindakan ke atas peniaga yang memilih untiluk tidak menjalankan perniagaan,” maklum beliau lagi.

 

 

Dalam perkembangan lain, Rajendran memberitahu, MBPP akan menyediakan tapak menjaja sementara kepada 16 penjaja Astaka Bukit Dumbar yang terlibat dalam kebakaran baru-baru ini.

 

 

“Kita akan kenal pasti tapak sementara dan tapak asal akan dibina semula, difahamkan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer juga akan menyediakan bantuan awal kepada penjaja terjejas,” katanya lagi.

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI