MBPP serap SST untuk perkhidmatan tempat letak kereta Majlis

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersetuju untuk menanggung Cukai Perkhidmatan (SST) bagi bayaran tempat letak kereta dibawah kendalian dan pengurusan Majlis, umum Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Tung Seang yang merupakan Datuk Bandar MBPP berkata, secara dasarnya Majlis terpaksa menanggung kira-kira RM30,000 sebulan ke atas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang sebelum ini turut dipersetujui ditanggung oleh MBPP sebelum pelaksanaan SST.

Ini sama dengan GST, yang mana kita bersetuju tanggung kos pelaksanaannya dahulu, cuma SST kali ini ia melibatkan tempat letak kereta yang diuruskan Majlis, jadi kosnya akan diserap MBPP,” ujarnya pada sidang media ringkas selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaraya, pagi ini.

Menurut Tung Seang, bermula 1 September 2018 , dibawah Kumpulan I, Perkara 4, Jadual 1 Akta Cukai Perkhidmatan 2018, sesiapa yang menguruskan atau menyediakan tempat letak kereta untuk kenderaan yang mana perkhidmatan ini dikenakan bayaran, ia adalah tertakluk kepada SST.

Hadir sama Setiausaha Bandaraya, Ir. Addnan Mohd. Razali, Ahli-ahli Majlis iaitu Wong Yuee Harng, Ahmad Azrizal Tahir dan Nur Zarina Zakaria.

Sementara itu, Pengarah Perbendaharaan MBPP, Suhaida Kamalul Ariffin menjelaskan, Majlis akan membayar enam peratus daripada keseluruhan kutipan hasil sistem letak kereta berkupon dan pas bulanan.

Secara kasarnya, jika sebulan Majlis dapat mengutip kira-kira RM600,000 daripada penjualan kupon dan pas bulanan, makanya jumlah yang perlu dibayar adalah enam peratus daripada jumlah tersebut,” jelasnya.