GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bersetuju terhadap cadangan untuk menyelaraskan waktu bagi operasi sistem Penang Smart Parking (PSP) di negeri ini.
Pengerusi jawatankuasa pengurusan kewangan MBPP, Gooi Seong Kin memberitahu bahawa jawatankuasa tersebut dalam satu mesyuarat pada 10 Oktober lalu telah bersetuju mengenai cadangan itu.
“Waktu operasi PSP adalah dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang (kecuali hari Ahad dan cuti umum).
“Kupon tempat letak MBPP yang sedia ada akan dijual sehingga 31 Disember tahun ini (2019) dan sah sehingga 31 Disember tahun depan (2020),” katanya dalam ucapan semasa mesyuarat Majlis Biasa dekat Dewan Bandaraya, di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Siong Kin berkata bahawa ejen bagi pengedaran e-kupon PSP harus mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Antaranya, ejen itu mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) selain penjualan kupon adalah melalui Aplikasi e-Kupon dengan kadar minimum selama dua jam bagi kupon jam,” katanya.
Difahamkan, pada masa ini terdapat enam ejen e-kupon iaitu MBPP, 7-Eleven, Happy Mart, Jefesson, Yang Agency dan PH Ocean.
Sistem PSP di Pulau Pinang akan diuruskan oleh HeiTech Padu Berhad.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pengguna PSP yang tidak memiliki telefon pintar atau pengguna telefon pintar tanpa internet masih boleh membayar menggunakan kupon.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI