GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menamatkan perkhidmatan dua kontraktor yang baharu dilantik kerana gagal menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan gangguan kutipan sampah di beberapa zon di bahagian pulau baru-baru ini.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata keputusan tegas tersebut dibuat demi menyelesaikan isu gangguan kutipan sampa serta mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Beliau berkata, MBPP telah mengeluarkan notis penjelasan kegagalan memenuhi obligasi kontrak kepada kedua-dua syarikat kontraktor tersebut pada 12 Januari lalu.
“Dan representasi bertulis daripada pihak kontraktor telah dikemukakan kepada pihak Majlis pada 16 Januari lalu.
“Setelah membuat pertimbangan yang teliti, MBPP bertulis daripada representasi daripada kedua-dua kontraktor ini adalah tidak relevan dan telah melanggar obligasi kontrak.
“Antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah seperti lori yang ditempah untuk menjalankan kerja-kerja kutipan sampah masih belum tiba dan beberapa alasan lain yang tidak berkaitan.
“Ini tidak boleh diterima memandangkan pengurusan kutipan sampah adalah perkara yang sangat penting kerana ia melibatkan kebersihan negeri ini secara keseluruhannya.
“Justeru, kami memutuskan untuk menamatkan kontrak kedua-dua kontraktor ini berkuatkuasa 20 Februari 2023” katanya pada sidang media dekat Komtar, sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; beberapa Ahli Majlis bagi MBPP serta Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran.
Susulan itu kata Tung Seang, MBPP telah mengambil alih perkhidmatan menguruskan kutipan sampah di semua zon yang diuruskan oleh kedua-dua kontraktor berkenaan sebelum ini.
“Zon terbabit ialah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima dan Air Itam dalam kawasan Parlimen Bukit Gelugor, serta KADUN Batu Uban dan Pantai Jerejak dalam Parlimen Bayan Baru.
“Kami juga memutuskan untuk menguruskan sendiri kutipan sampah secara kekal dan tidak akan melantik kontraktor baharu untuk mengambil alih dua zon ini,” katanya.
Tambah Tung Seang, pengurusan kutipan ssampah di bahagian pulau itu dibahagikan kepada sembilan zon.
“Kedua-dua zon itu (Parlimen Bayan Baru dan Parlimen Bukit Gelugor) adalah tambahan kepada kawasan Parlimen Balik Pulau yang diuruskan oleh MBPP ketika ini.
“Lima zon lain sedang diuruskan oleh kontraktor lama yang menjalankan tugas dengan baik setakat ini manakala seorang kontraktor baharu turu didapati melakukan kerja dengan baik.
“MBPP juga akan menambah lebih banyak jentera dan tenaga kerja untuk menguruskan dua zon (kawasan Parlimen Bayan Baru dan Bukit Gelugor),” katanya.
Tung Seang berkata, sebarang aduan berhubung kelewatan perkhidmatan kutipan boleh disalurkan melalui talian hotline MBPP (24 jam) di talian 04-263 7637/7000 atau 04-282 4282/04-263 3000 (waktu pejabat sahaja).
Dalam pada itu, Soon Siang menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada MBPP atas tindakan proaktif yang diambil untuk menyelesaikan isu kutipan sampah di zon-zon terlibat.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI