MBPP tambah 90 orang tenaga sambilan bantu pulihkan khidmat pungut sampah

AIR ITAM – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan menambah 90 orang tenaga kerja sambilan dalam memulihkan semula perkhidmatan pengutan sampah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Itam, Seri Delima, Pantai Jerejak dan Batu Uban.

 

 

 

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran bagi Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) bagi MBPP, Mohd. Zamzuri Hussein berharap langkah itu dapat mengembalikan perkhidmatan pungutan sampah di kawasan berkaitan kepada sediakala secepat mungkin.

 

 

“Dengan penambahan ini kita (MBPP) berharap, waktu kerja kakitangan dilapangan sekarang dapat dikurangkan, sekarang ada yang bertugas hingga 19 jam secara syif.

 

 

“Penambahan kakitangan sambilan ini akan dibahagikan mengikut keperluan di kawasan-kawasan terlibat dan kita sasarkan ia dapat menemui penyelesaian  dalam minggu hadapan,” ujar Mohd. Zamzuri pada sidang media Status Terkini Pengambilalihan Perkhidmatan Pengutan Sampah di Kawasan DUN Air Itam dan Seri Delima dekat Dewan Komuniti Desa Mawar pagi tadi.

 

 

Turut hadir, ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ahli-ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey, Tan Soo Siang dan Rohaizat Hamit.

 

 

Sebelum ini, difahamkan kontraktor pungutan sampah bagi empat kawasan DUN terbabit gagal menjalankan tugas dengan berkesan ekoran beberapa alasan seperti kekurangan logistik dan sebagainya.

 

 

Soon Siang secara peribadi berpendapat, alasan dikemukakan tidak boleh diterima kerana kontrak, jadual dan sebagainya telah diberikan lebih awal.

 

 

“Kebiasaannya tempoh transisi kontraktor memang akan berdepan sedikit masalah, tetapi masalah di Air Itam dan Seri Delilma agak teruk dan ia tidak berlaku di kawasan lain.

 

 

“Semua orang nak sambut tahun baru dengan aman tetapi tiba-tiba keadaan jadi kelam kabut, tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran,” tegas Soon Siang.

 

 

Soo Siang dalam pada itu memberitahu pemberita, situasi semasa di DUN Seri Delima dan Air Itam semakin terkawal sejak MBPP mengambilalih tugas pengutan sampah.

 

“Untuk pengurusan sisa domestik, Majlis telah membekalkan tambahan empat unit jentera pemampat bagi kutipan kediaman bertingkat dan taman perumahan.

 

 

“Manakala bagi kawasan kampung, satu lori high side tipper satu tan telah disediakan,” katanya.

 

 

Sebarang aduan mengenai kelewatan perkhidmatan kutipan, aduan boleh disalurkan kepada JPP di talian 04-2637637/7000 atau 04-2824282/04-2633000 (waktu pejabat).

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI