MBPP tanam 2,020 batang pokok bakau simbolik penutup tahun 2020

 TELUK BAHANG – Jabatan Landskap Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan Kerjasama Jabatan Perhutanan Pulau Pingna menanam 2,020 batang pokok bakau bagi mencapai sasaran 100,000 batang pokok ditanam menjelang tahun 2023.

 

Penanaman tersebut merupakan simbolik bagi tahun 2020 yang akan melabuhkan tirai tidak lama lagi.

 

Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan, sejak tahun 2018 hingga kini MBPP sudah menanam 34,928 batang pokok di seluruh kawasan pulau.

 

“Jadi hari ini kita bergerak ke hadapan dengan penanaman 2,020 batang pokok bakau di hutan simpanan kekal (paya bakau) Sungai Pinang, Balik Pulau.

 

“Hutan paya bakau ini sebenarnya sangat penting berfungsi sebagai zon penampan, selain itu paya bakau juga melindungi pelbagai spesies  hidupan fauna yang berhabitat di sini,” ujar Tung Seang kepada Buletin Mutiara dekat Taman Nelayan, Sungai Pinang pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha bagi MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Pulau Pinang, Tengku Mohd Ridzuan Tengku Ibrahim.

 

Mohd. Ridzuan dalam pada itu memberitahu, spesies yang ditanam hari ini adalah jenis bakau minyak.

 

Difahamkan, hutan simpanan kekal paya bakau di Balik Pulau adalah berkeluasan 666 hektar dan diwartakan sepenuhnya.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI