PANTAI JEREJAK – Bersempena Asia Pacific Urban Forum yang akan berlangsung pada 14 hingga 18 Oktober ini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil kesempatan menghijaukan lagi kawasan persekitaran laluan berbasikal dekat Bayan Mutiara dengan menanam 32 batang pokok tecoma.
Majlis penanaman tersebut diketuai Datuk Bandarnya, Dato’ Ar. Yew Tung Seang,
Menurut Tung Seang, penanaman pokok-pokok tersebut bertujuan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk aktiviti berbasikal di sepanjang laluan pantai dari George Town hingga ke Bayan Lepas.
“Selain memberi manfaat kepada aktiviti berbasikal ianya juga mampu mewujudkan persekitaran kondusif kepada penggemar aktiviti jogging yang sering menggunakan kawasan ini.
“Bila persekitaran lebih teduh, maka lebih mudah juga aktiviti riadah dapat dijalankan sekiranya cuaca sedikit panas,” ujar beliau kepada pemberita dalam satu sidang media di sini pagi ini.
Selain MBPP, komuniti berbasikal Bike On Friday (BOF) turut serta menjayakan program tersebut sambil meraikan minggu ke 217 aktiviti berbasikal komuniti berkenaan pada setiap pagi Jumaat dari Queensbay ke Komtar.
Hadir sama, Pengarah Khidmat Pengurusan MBPP, Mohamed Akbar Mustapha.
Bercakap mengenai sasaran untuk menanam 33,333 batang pokok dalam tempoh lima tahun, Tung Seang menyatakan bahawa kini sebanyak 2,500 batang pokok sudah ditanam MBPP sejak polisi tersebut dilaksanakan tahun lalu.
“Untuk seluruh negeri, MBPP, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang perlu menanam 100,000 batang pokok, jadi dibahagikan satu per tiga, kita (MBPP) perlu menanam 33,333 batang pokok,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI