MBPP tawar isi kekosongan di kompleks penjaja dan pasar awam mulai 16 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan membuka tawaran kekosongan gerai-gerai di kompleks makanan, pasar-pasar awam dan tapak penjaja mulai 16 (esok) hingga 26 Julai ini.

 

Menurut Ahli Majlis bagi MBPP Nicholas Theng Jie Wei, buat kali pertamanya, tawaran pengisian tersebut akan dilakukan secara dalam talian melalui http://elesen.mbpp.gov.my.

 

“Kali ini sebanyak 38 kekosongan terdapat di pasar-pasar awam dan 274 kekosongan di kompleks-kompleks penjaja seluruh pulau.

 

“Senarai akan dimuatnaik dalam Facebook Majlis Bandaraya Pulau Pinang esok dan kita di pihak majlis cuba sedaya upaya untuk memudahkan permohonan kali ini.

 

“Pemohon hanya perlu mengisi jawapan dikemukakan tanpa sebarang temubual dan paling penting adalah nombor telefon yang dapat dihubungi untuk sebarang keputusan dan makluman,” ujar beliau kepada pihak media petang tadi.

Tambahnya lagi, usaha tersebut merupakan salah satu langkah membantu peniaga-peniaga kecil yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Bahagian Pelesenan MBPP di talian, 04-26338818.

 

Setiap permohonan hanya akan diproses selepas 26 Julai melalui satu mesyuarat khas.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD