GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima penarafan lima bintang dalam penilaian Sistem Penarafan Bintang (SPB)-pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dijalankan.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran berkata PBT itu berjaya memperoleh Sijil ISO 45001:2018 Sistem Pengurusan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS), ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) bagi tahun 2024.
“Sesi penilaian SPB-PBT telah diaudit oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 16 Mei 2024.
“MBPP menerima pengiktirafan lima bintang dan menduduki tangga kelima daripada keseluruhan PBT di Malaysia bagi kategori banda raya dengan markah keseluruhan 96.69 peratus.
“Justeru, saya merakamkan penghargaan kepada warga kerja organisasi berkaitan yang telah memperolehi penarafan lima bintang,” katanya pada Majlis Penghargaan Sistem Penarafan Bintang SPB-PBT dan Penyerahan Sijil ISO 45001:2018 OSHMS, ISO 37001:2016 ABMS Serta Penyampaian Hadiah Pertandingan Inovasi MBPP Tahun 2024 dekat sebuah hotel di Pusat Bandar pagi tadi.
Hadir sama, Ahli-ahli Majlis MBPP; Setiausaha Bandaraya, Sr. Cheong Chee Hong; Pengurus NIOSH Certification Sdn. Bhd. Cawangan Utara, Roy Tan Wei Sern dan SIRIM Academy Sdn. Bhd.selaku Perunding ISO dan ABMS, Azhar Dolah.
Rajendran berkata, pelaksanaan ISO 45001:2018 OSHMS di MBPP adalah bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat kepada semua pekerja, kontraktor, pelanggan, pelawat dan orang awam yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan operasi MBPP.
“MBPP turut melaksanakan program-program kesedaran dan latihan kompetensi, pengauditan dalaman, lawatan penanda aras dan lain-lain bagi memantapkan lagi kawalan.
“Pada masa yang sama, MBPP turut melantik Penyelaras Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-C) di kalangan pegawai pegawai MBPP bagi membantu dalam pengurusan dan kawalan di jabatan masing-masing.
“Seterusnya pada 19 September 2024, MBPP telah menerima Persijilan ISO 45001:2018 OSHMS untuktempoh tiga tahun mulai 19 September 2024 hingga 18 September 2027,” ujarnya.
Pada majlis sama, Rajendran turut menyampaikan hadiah kepda jabatan-jabatan MBPP yang berjaya sempena pertandingan inovasi peringkat MBPP baru-baru ini.
Projek Weather Station muncul juara bagi Anugerah Inovasi dan membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.
Techard 4 Makerspace @ Balik Pulau Muncul naib juara (RM3,000) dan projek E- Harta Aduan Sistem Kerosakan tempat ketiga (RM2,000).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD