MBPP tumpu kawalan lalu lintas dan peningkatan sampah-sarap

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan mengetatkan kawalan dan pemantauan lalu lintas sepanjang tempoh cuti panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina bermula esok.

 

 

Menurut Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang, pihaknya turut mengjangkakan peningkatan jumlah kenderaan memasuki Pulau Pinang berdasarkan maklumat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini.

 

“Selain peningkatan jumlah kenderaan, kita (MBPP) turut jangkakan kuantiti sampah-sarap juga akan mengalami peningkatan kesan daripada kegiatan domestik dan pelancongan.

 

 

 

“Untuk membantu mengawal keadaan di kawasan seliaan MBPP, arahan pembekuan cuti rehat bermula 31 Januari hingga 4 Februari dikeluarkan kepada semua ketua jabatan, pegawai dan staf jabatan yang terlibat dalam perkhidmatan perlu (essential service).

 

 

“Antara yang terlibat termasuklah Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Kesihatan Persekitaran, Jabatan Landskap dan Jabatan Pelesenan yang terdiri daripada 2,342 kakitangan atau bersamaan 77.58 peratus tenaga kerja MBPP,” ujar Tung Seang melalui satu kenyataan kepada Buletin Mutiara hari ini.

 

 

Serentak dengan itu, MBPP turut giat menggerakkan pemantauan dan penguatkuasaan anti-litter terutamanya di kawasan tumpuan ramai (hotspot).

 

“Semua tugasan dan pemantauan akan dijalankan secara rondaan selain menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) di pusat Intelligent Operations Center (IOC).

 

 

“Sebarang aduan boleh disalurkan melalui talian 04-2637 000, sistem e-Aduan MBPP atau melalui aplikasi WhatsApp Aduan MBPP di nombor 016-200 4082.

 

 

Pada 28 Januari lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain menjangkakan sebanyak 50,000 kenderaan akan memasuki negeri ini setiap hari.

 

 

Katanya, peningkatan itu disumbang oleh warga Pulau Pinang yang pulang ke kampung halaman serta ada yang berkunjung untuk menghabiskan cuti Panjang.

 

 

Justeru, pihaknya turut menggerakkan anggota ke lokasi-lokasi hotspot kemalangan.

 

Sementara itu, tinjauan Buletin Mutiara pada jam 10 pagi tadi di Plaza Tol Juru arah utara dan Jambatan Pulau Pinang arah ke pulau mendapati aliran trafik mula meningkat.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR