MBPP turunkan kadar peratusan nilai tahunan hartanah bagi imbangi kenaikan cukai taksiran

Admin

PADANG KOTA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil langkah mengurangkan kadar peratusan nilai tahunan hartanah dalam mengimbangi kenaikan cukai taksiran yang dinilai semula selepas 15 tahun.

Perkara tersebut dijelaskan oleh Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis Bil 09/19 dekat Dewan Bandaraya, di sini pagi ini.

“Kami (MBPP) buat apa yang kami mampu dan apa yang kami buat adalah dengan mengurangkan kadar tahunan, misalnya 9.30 peratus kadar tahunan untuk kediaman bertanah dua tingkat pada tahun 2005 kepada 6 peratus bagi tahun 2020.

“Manakala bagi kediaman berstrata jenis kos sederhana rendah pula diturunkan daripada 8.50 peratus kepada 5.80 peratus,” ujarnya.

Mengulas mengenai nilai tahunan sesebuah hartanah yang menjadi salah satu penentu cukai taksiran perlu dibayar, Tung Seang menyatakan ianya dikira berdasarkan nilai sewaan semasa.

“Nilai tahunan ditentukan berdasakan formula nilai sewaan hartanah yang diperolehi melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri, statistik transaksi yang berlaku dan borang penyata maklumat.

“Pasukan kami juga melakukan kaji selidik kadar sewaan bagi semua hartanah dalam pentadbiran MBPP punyai kadar sewaan dan data-data yang boleh diguna pakai sebagai panduan,” tambahnya.

Sungguhpun cukai taksiran mengalami kenaikan, Tung Seang memberitahu bahawa MBPP terus komited memberikan perkhidmatan yang terbaik.

“Ini termasuk mempertahankan status sebagai bandar raya terbersih di negara ini dan di Asia serta semua perkhidmatan dan kemudahan yang akan disediakan oleh MBPP.

“Kita tetap akan lakukan yang terbaik dan buat masa ini kita ada tempoh bantahan, sekiranya ada bantahan, kita sedia mendengar dan mempertimbangkan.

“Jadi warga MBPP akan turun padang memberikan penjelasan lebih terperinci kepada semua pembayar cukai… kita akan mula di kompleks-kompleks membeli-belah yang besar dalam jangka masa terdekat serta pengumuman melalui media sosial,” katanya lagi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD