MBPP umum tender penggunaan Kompleks Pasar Batu Ferringhi

whatsapp image 2025 03 20 at 12.50.14

TANJONG BUNGA – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membuka Request For Proposal (RFP) bagi cadangan penggunaan Kompleks Pasar Batu Ferringhi, yang merupakan salah satu premis milik pihak berkuasa (PBT) tempatan itu.

Ahli Majlis bagi MBPP, Nicholas Theng Jie Wey berkata bahawa Kompleks Pasar Batu Ferringhi terletak di lokasi strategik iaitu di Jalan Sungai Satu, dan berhadapan dengan Pangsapuri Pinang Emas.

Menurutnya, kompleks tersebut terdiri daripada sebuah bangunan dua tingkat yang telah dibina pada tahun 2017 yang mana pada mulanya direka bentuk sebagai sebuah pasar.

“Namun, disebabkan tiada permintaan di samping aktiviti perniagaan yang kurang mendapat sambutan, kompleks ini dikembalikan semula kepada pihak MBPP.

“Oleh itu, MBPP berhasrat untuk membuka tender bagi cadangan penggunaan kompleks ini secara terbuka bagi kegunaan komersial dan kemasyarakatan,” katanya pada sidang media dekat Bangunan EOC, Jalan Kampung Jawa Baru, semalam.

Ahli Majlis bagi MBPP, Mohamad Khairani Abdul Shukor; Nur Hidayah Che Rose; R. Hari Krishnan; Mohamed Yusoff Mohamed Noor; Benji Ang Ming Quan; Chen Wooi Teong dan Ooi Mei Mei antara yang turut serta dalam sidang media tersebut.

Dalam pada itu, Jie Wey menjelaskan bahawa Kompleks Pasar Batu Ferringhi turut dilengkapi dengan kemudahan fasiliti seperti lif, dewan dan bilik-bilik serba guna serta tempat letak kereta dan motorsikal.

“Kami ingin memastikan bahawa aset ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya, bukan sahaja untuk tujuan perniagaan tetapi juga bagi aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Justeru, MBPP berharap tender ini akan menarik penyertaan daripada pemohon yang berkelayakan bagi menghidupkan semula kompleks ini dengan konsep yang lebih inovatif dan berdaya saing, sekali gus memberi nilai tambah kepada komuniti serta sektor ekonomi negeri.

“Cadangan yang dikemukakan mestilah bersifat praktikal, bernilai tinggi serta berpotensi meningkatkan aktiviti sosioekonomi di kawasan ini.

“Kami percaya bahawa projek ini mampu memberikan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhan,” katanya lagi.

Difahamkan, kenyataan tender akan diiklankan pada 24 Mac 2025 dan akan ditutup pada 5 Mei 2025.

Pihak yang berminat untuk menyertai tender ini dikehendaki menghadiri sesi taklimat dan lawatan tapak di perkarangan premis tersebut pada 7 April 2025 (Isnin), jam 10.30 pagi bagi melayakkan mereka untuk menyertai tender ini.

 

Gambar – gambar Kompleks Pasar Awam Batu Feringghi kini :

whatsapp image 2025 03 20 at 12.50.14 (1)

whatsapp image 2025 03 20 at 12.50.15

whatsapp image 2025 03 20 at 12.50.15 (2)

whatsapp image 2025 03 20 at 12.50.16

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : LAW SUUN TING