MBSP agih tong sisa organik secara percuma kepada peniaga pasar awam

SEBERANG JAYA – Bagi menggalakkan lagi pengasingan sisa di punca, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengagihkan tong sisa organik secara percuma kepada peniaga-peniaga pasar awam yang masih aktif.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata program yang dilaksanakan dengan kerjasama Greenviro Solution Sdn. Bhd. itu adalah bertujuan menggalakkan aktiviti pengasingan sisa organik oleh peniaga-peniaga pasar awam di Seberang Perai.

“Pengasingan sisa organik merupakan langkah pertama kepada peniaga khususnya dan masyarakat umumnya untuk mengasingkan sisa organik di punca.

 

 

“Oleh itu, MBSP berikan tong ini kepada peniaga untuk digunakan bagi mengasingkan sisa-sisa organik yang boleh dikumpul semasa menjalankan aktiviti perniagaan di pasar awam dan diproses menjadi kompos.

“Melalui program ini, kita boleh memastikan bahawa masyarakat benar-benar memahami kepentingan pengurusan sisa organik dan menjadi satu titik mula yang penting bagi mengurangkan kemasukan sisa ke tapak pelupusan akhir iaitu Tapak Pelupusan Pulau Burung,” katanya semasa berucap pada Program Pengasingan Sisa Organik Serta Majlis Pelancaran Tong Pengumpulan Sisa Organik Sempena Sambutan Hari Bandaraya dekat Menara Bandaraya MBSP di sini pada 31 Oktober lalu.

Turut serta, barisan Whip Parti dan Ahli-Ahli Majlis MBSP, Ketua-ketua Jabatan MBSP serta Pengarah Urusan Greenviro Solution Sdn. Bhd., Dato’ Ts. Syamshuar Husin.

Mengulas lanjut, Azhar berkata program pengasingan sisa organik tersebut adalah melibatkan sebanyak 30 pasar awam MBSP yang terdiri daripada 495 buah gerai.

“Bilangan tong yang diberikan kepada pemilik perniagaan pula adalah mengikut keperluan semasa,” ujarnya.

Difahamkan, sisa-sisa organik yang dikumpul akan dihantar ke lima pusat pengkomposan MBSP iaitu di Depoh Operasi dan Pembersihan Kepala Batas, Depoh Operasi dan Pembersihan Bagan, Depoh Operasi dan Pembersihan Bukit Mertajam, Depoh Operasi dan Pembersihan Inderawasih dan Depoh Operasi dan Pembersihan Jawi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD & MBSP