SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan menjalankan operasi serahan waran tahanan tunggakan cukai taksiran mulai 25 Oktober ini.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata operasi berkenaan adalah melibatkan pemilik premis yang belum menjelaskan tunggakan cukai taksiran selepas tempoh masa yang telah ditetapkan.
“Justeru, pemilik premis dinasihatkan agar segera menjelaskan tunggakan cukai taksiran bagi mengelakkan premis dikenakan waran tahanan dan harta lih akan disita oleh MBSP.
“Pemilik premis juga disarankan supaya memuat turun aplikasi ASPIRE Seberang Perai untuk memudahkan urusan semakan bil terkini secara digital dan terus membuat bayaran melalui aplikasi berkenaan bagi mengelakkan tindakan dikenakan.
“Semakan dan bayaran juga boleh dibuat di kaunter bayaran MBSP di Bandar Perda, kaunter cawangan Kampung Jawa, Butterworth dan kaunter cawangan Jawi, Nibong Tebal.
“Senarai lengkap saluran pembayaran yang disediakan boleh dirujuk di laman sesawang MBSP iaitu https://www.mbsp.gov.my,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Ahli Majlis MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP.
Dalam perkembangan berkaitan, Azhar memberitahu bahawa MBSP akan melaksanakan Kaunter Siber di Kaunter MBSP Cawangan Kampung Jawa dan Jawi mulai 1 November 2023.
“Pelaksanaan Kaunter Siber di Kaunter Cawangan MBSP dapat memenuhi keperluan penduduk setempat kerana pelanggan tidak lagi tertumpu di Kaunter Berpusat MBSP di Bandar Perda untuk mendapatkan perkhidmatan multiskill.
“Walau bagaimanapun, MBSP menggalakkan semua warga Seberang Perai untuk menggunakan perkhidmatan atas talian melalui saluran Cyber Counter yang disediakan di laman sesawang MBSP bagi memudahkan urusan,” ujarnya lagi.
Difahamkan, antara perkhidmatan multiskill yang diproses di kaunter cawangan MBSP seperti berikut:
- a) Permohonan pelekat kereta Orang Kurang Upaya (OKU)
- b) Permohonan lesen anjing
- c) Permohonan pertukaran alamat harta
- d) Carian alamat harta
- e) Pendaftaran inbois jabatan MBSP
- f) Bayaran Kempen Hari Tanpa Beg Plastik
- g) Bayaran Fi Hotel
- h) Permohonan / pembaharuan lesen perniagaan MBSP
- i) Bayaran Kompaun Kerja Tanah
- j) Penyediaan dan bayaran bil-bil jabatan dalaman MBSP
- k) Bayaran cukai taksiran MBSP
- l) Bayaran kompaun jabatan MBSP
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS