MBSP anjur NTF2025 Januari ini, tawar pengurangan harga suntikan anti tifoid sejak 3 Disember

Admin
f4db7750 e160 46f2 adaf 5b1ea5cf71e6

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dengan kerjasama Pusat Khidmat KADUN Jawi bakal menganjurkan Nibong Tebal Festival 2025 (NTF2025) menjelang Januari ini.

Semasa mengumumkan perkara itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memaklumkan bahawa penganjuran NTF2025 merupakan kali kedua selepas kejayaan pada penganjuran yang pertama.

“NTF2025 bakal diadakan pada 18 hingga 19 Januari 2025 bertempat di Jalan Pasar Lama, Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS) bermula jam 5.00 petang sehingga 11.00 malam.

“Penganjuran acara sebegini adalah untuk meraikan kreativiti seni, budaya dan warisan dalam usaha MBSP ke arah merancakkan ekonomi dan tumpuan awam khususnya di SPS.

“(Dan) diharapakan acara yang berlangsung selama dua hari ini berupaya menyatupadukan penggiat seni bukan sahaja pada peringkat tempatan, malah juga antarabangsa.

“Selain itu, acara ini juga dapat memperkukuh hubungan di antara pelbagai pihak dalam usaha mempromosikan Nibong Tebal kepada masyarakat luar,” ujarnya semasa Mesyuarat Majlis Penuh di Dewan Kenanga dekat Menara Bandaraya MBSP sebentar tadi.

7e47abe8 0ce9 406d bcbf 74e4a4aea9d7Dalam perkembangan lain, Baderul Amin berkata bahawa promosi pengurangan harga suntikan anti tifoid MBSP kini boleh didapati di Klinik MBSP.

“Bersempena dengan sambutan Hari Perlindungan Kesihatan Sejagat, MBSP telah mengambil inisiatif untuk membendung wabak Tifoid (demam kepialu) khususnya dalam kalangan pengendali makanan dengan mengadakan promosi pengurangan harga bagi suntikan vaksin anti Tifoid.

“Promosi ini telah bermula sejak 3 Disember lalu, oleh itu peniaga dan pengendali makanan di seluruh Seberang Perai boleh mendapatkan suntikan di Klinik MBSP dekat Menara Bandaraya pada hari dan waktu bekerja dengan kadar harga RM64 bagi warganegara dan RM89 (bukan warganegara).

“Di samping itu, diskaun tambahan sebanyak lima peratus turut diberikan kepada pengendali di premis makanan yang mendapat gred A (Sangat Bersih) bagi Sijil Penarafan Kebersihan Premis Makanan MBSP,” jelasnya lanjut.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Klinik MBSP Bandar Perda di talian 04-5497687.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS