MBSP anjur pertandingan bola sepak eratkan silaturahim PBT dan agensi kerajaan

SEBERANG JAYA – Buat julung kalinya, Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) 2019 bakal dianjurkan sempena pemasyhurannya yang dijadualkan berlangsung pada 11 Oktober ini dekat Kompleks Sukan Bertam, Kepala Batas.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata kejohanan bola sepak seumpama itu dapat mengeratkan lagi ikatan silaturahim di kalangan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi-agensi kerajaan.

“Program kejohanan bola sepak ini selari dengan Penang2030 di bawah tema strategi A:”Increase liveability to enhance quality of life” iaitu“Diversify recreation, sports, arts and culture facilities” (Inisiatif strategi A4).

“Ianya selaras dengan pelaksanaan strategik “Gaya Hidup Sihat” dalam Pelan Strategik Seberang Perai Tahun 2018 – 2022, yang mana pelbagai program sukan, senam dan rekreasi seperti Forest Bathing, Senam Sihat Warga MPSP, Fun Walk, Fun Ride, I Love Penang Run, dan Sungai Perai Nature Walk dianjurkan untuk manfaat kesihatan dan rekreasi warga Seberang Perai.

“Acara-acara senam sihat dan bersukan sesungguhnya merupakan antara medium yang boleh menyatukan masyarakat tanpa mengira pangkat, usia, jantina dan bangsa…kita semua sebenarnya mempunyai peranan dalam membudayakan sukan dalam kehidupan kita,” katanya semasa merasmikan kejohanan berkenaan di Ibu Pejabat MBSP Bandar Perda, di sini, semalam.

Hadir sama, Presiden kelab Bola MBSP FC merangkap Ahli Majlis bagi MBSP, David Marshel, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod dan barisan Ahli Majis MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali memaklumkan bahawa MBSP akan terus komited dengan melaksanakan pelbagai aktiviti sukan dan rekreasi seperti usaha menubuhkan Kelab Bola Sepak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP FC) dan menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai.

“Penyertaan bagi kejohanan bola sepak ini adalah terbuka kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Semenanjung Malaysia dan juga jabatan ataupun agensi-agensi kerajaan dan terhad kepada 16 pasukan yang terawal sahaja.

“Justeru, bagi menarik minat kepada semua pasukan yang bakal bertanding, MBSP menyediakan hadiah yang lumayan yang mana juara bakal membawa pulang wang tunai RM5,000, piala pusingan, pingat dan sijil penyertaan manakala naib johan akan mendapat wang tunai sebanyak RM3,000.00, pingat dan sijil penyertaan.

“Bagi tempat ketiga mendapat wang tunai RM1,000.00, pingat dan sijil penyertaan serta saguhati berupa sijil penyertaan kepada pasukan-pasukan yang lain,” ujarnya sambil mengucapkan ‘Selamat Bertanding’ kepada kesemua pasukan supaya mempunyai semangat kesukanan yang tinggi dan harmoni.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: MBSP