MBSP anjur program mudah cara permohonan ubah suai kediaman bertanah, 30 Jun

Admin
26008420 f733 4da3 8368 148d94abd0cd DATUK Bandar (tengah) mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis di Menara Bandaraya MBSP di sini pada pagi tadi.

SEBERANG JAYA – Mereka yang berhasrat untuk melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian atau penambahan pada unit kediaman bertanah masing-masing dijemput menyertai Program Mesra Pelanggan anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Dewan Orang Ramai Taman Ara Jaya, Ara Kuda dekat Tasek Gelugor pada 30 Jun 2024.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh di Dewan Kenanga, Menara Bandaraya MBSP dekat Bandar Perda di sini sebentar tadi.

“Program pada kali ini menyasarkan penduduk dan pembeli rumah di kawasan skim perumahan di Ara Kuda, Tasek Gelugor, Kubang Menerong, Bertam dan kawasan sekitar yang telah dikeluarkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) baru-baru ini untuk mereka memohon kelulusan sekiranya hendak menjalankan kerja-kerja ubah suai atau pindaan atau tambahan kepada rumah kediaman mereka.

“Dalam masa yang sama, penduduk daripada kawasan lain juga boleh menyertai dan memohon kelulusan melalui program ini,” jelasnya.

Menurutnya lagi, dengan mendapatkan kelulusan berwajib menerusi program tersebut sekali gus dapat mengelak risiko tindakan penguatkuasaan atas kerja-kerja pengubahsuaian struktur tanpa kebenaran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

Hubungi Jabatan Bangunan MBSP di talian 04-5497737 / 045497776 untuk pertanyaan lanjut.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB