MBSP anjuran program tanam pokok serentak seluruh Seberang Perai 24 September ini

Admin

SEBERANG JAYA – Dalam usaha mencapai sasaran 600,000 pokok ditanam menjelang tahun 2030, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal menganjurkan program penanam pokok secara serentak di seluruh Seberang Perai pada 24 September ini.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata penganjuran program dikenali Planting Hours of Seberang Perai itu adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan kepentingan mengekalkan persekitaran sihat demi generasi akan datang.

“Program ini terbuka kepada seluruh warga Seberang Perai berumur 13 tahun ke atas termasuk secara individu serta berkumpulan.

Azhar Arshad bersama-sama barisan Ahli Majlis dan ketua-ketua jabatan MBSP menunjukkan poster kempen Planting Hours of Seberang Perai selepas mempengerusikan Mesyuarat Biasa Majlis dekat sini sebentar tadi.

“Lokasi penanaman pokok yang dibenarkan adalah lot persendirian atau tanah persendirian, kawasan agensi-agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan dan lain-lain premis.

“Tarikh pendaftaran untuk menyertai program ini adalah dari 29 Julai hingga 16 September 2022 dengan cara mengisi google form yang disediakan, dan MBSP menggalakkan penglibatan serta kerjasama pelbagai pihak meliputi semua komuniti.

“Justeru, MBSP menjemput seluruh penduduk Seberang Perai untuk bersama-sama menanam pokok sempena program ini secara serentak pada 24 September sempena sambutan Hari Bandaraya tahun ini,” katanya semasa merasmikan pelancaran program tersebut dekat Menara Bandaraya, Bandar Perda di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Baderul Amin Abdul Hamid serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Azhar berkata, para peserta juga disaram bergambar bersama-sama pokok yang ditanam dan memuat naik ke Instagram masing-masing.

“Peserta perlu menyertakan #PlantingHoursOfSeberangPerai & #SeberangPeraiCituConcil untuk berpeluang memenangi hadiah bagi fotografi paling kreatif,” ulasnya.

Sempena penganjuran itu juga katanya, MBSP juga akan melancarkan poster berkaitan penjagaan alam sekitar untuk memberikan pendidikan serta menanam sifat cintakan pokok.

“Poster ini akan meliputi aktiviti yang dibenarkan dan tidak dibenarkan di taman rekreasi awam atau kawasan lapang MBSP, risalah berhenti merokok, kesalahan menebang pokok tanpa kebenaran Majlis dan pokok yang tidak diselenggara,” ujarnya lagi.

Mengulas lanjut, Azhar turut memaklumkan sejak tahun 2008 hingga Jun 2022, MBSP berjaya menanam sebanyak 102,531 pokok di seluruh Seberang Perai melalui pelbagai program yang dijalankan.

“Inisiatif menanam pokok adalah bertujuan mengurangkan kesan cuaca panas dan kering yang sering melanda negara.

“Penanaman pokok adalah penting dalam mengimbangi pelepasan karbon melalui penghasilan oksigen sekali gus mengurangkan kesan gas rumah hijau,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP