MBSP antara 10 bandar raya terbaik Asia

Admin

SEBERANG JAYA – Organisasi bukan laba, Carbon Disclosure Project (CDP) menyenaraikan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) antara 10 bandar raya terbaik di Asia pada tahun lepas.

Datuk Bandarnya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, MBSP juga disenaraikan antara 100 bandar raya terbaik dunia oleh CDP yang berpangkalan di United Kingdom, dalam Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

“Seberang Perai diiktiraf sebagai pemimpin global dalam menangani perubahan iklim dengan mencapai tempat dalam senarai A iaitu Kategori Kepimpinan oleh CDP.

Sr. Rozali Mohamud menunjukkan jadual pengurangan pelepasan karbon yang berjaya dicatatkan MBSP sejak 2010 hingga tahun lepas.

“Pengiktirafan ini adalah berdasarkan tindakan Seberang Perai dalam membangunkan strategi perubahan iklim yang mantap, bertindak mengehadkan dan mengurangkan pelepasan (karbon), menilai risiko iklim serta melaporkan secara telus maklumat-maklumat ini kepada CDP.

“Ia juga menjadi kayu ukur bahawa Seberang Perai menunjukkan kepimpinan dalam ketelusan, menyesuaikan diri serta bersiap sedia untuk menghadapi kesan krisis perubahan iklim,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Ruang Media Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Turut serta, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai MBSP.

Difahamkan, sebanyak 105 bandar raya di seluruh dunia telah disenaraikan dalam ‘A-List City’ pada 2019 berbanding hanya 43 bandar raya pada tahun sebelumnya.

Di peringkat Asia pula, MBSP berada di tangga ke lima dalam senarai bandar raya terbaik di belakang Yokohama, Seoul, Hong Kong dan New Taipei mengatasi Petaling Jaya, Iskandar, Tainan, Taoyuan serta Balik Papan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rozali menerangkan bahawa Seberang berjaya mengurangkan 16.5 peratus pelepasan karbon per kapita pada tahun lepas dengan bacaan 6.88 tan karbon dioksida seorang berbanding 2015 (8.24 tan).

“Secara kumulatifnya, Seberang Perai berjaya mengurangkan sebanyak 10.44 juta tan karbon dioksida bagi tempoh antara 2010 hingga 2019.

“Pecapaian Seberang Perai dalam mengurangkan pelepasan karbon dapat dilihat apabila jumlah pelepasan karbon bagi tahun 2019 adalah 6.6 juta tan berbanding anggaran iaitu 9.65 juta tan.

“Pengurangan sebanyak 31.4 peratus ini merupakan satu kejayaan membanggakan hasil daripada perubahan gaya hidup masyarakat di Seberang Perai yang lebih prihatin terhadap alam sekitar,” jelasnya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING