MBSP bina tapak penjaja baharu di Taman Merak dan Taman Puteri Gunung

Admin

BUKIT TAMBUN – Seramai 80 penjaja tidak berlesen di sekitar Taman Merak dan Taman Puteri Gunung dekat Simpang Ampat akan ditempatkan di tapak penempatan penjaja baharu apabila kemudahan itu siap dibina kelak.

Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pembinaan kedua-dua tapak penjaja tersebut adalah menelan kos sebanyak RM693,000 yang dibiayai sepenuhnya oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

“Sememangnya penduduk di kawasan sekitar sudah terbiasa dengan penjaja yang berada di sini memandangkan ada di antaranya telah menjalankan perniagaan sejak 10 tahun lalu.

“MBSP sudah beberapa kali mengambil tindakan penguatkuasaan melalui pemberian notis dan mengenakan kompaun atas kesalahan menjaja tanpa permit di kawasan ini tetapi tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mampu menyelesaikan masalah.

“Justeru, saya mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada MBSP yang cakna akan keperluan masyarakat di sini dengan pengumuman projek ini.

“Apabila projek tersebut siap kelak, seramai 80 penjaja akan ditempatkan di kedua-dua tapak penjaja ini sekali gus membolehkan mereka menjalankan semula perniagaan,” katanya semasa berucap pada majlis pengumuman pembinaan tapak penempatan penjaja dekat Taman Puteri Gunung di sini sebentar tadi.

Ketua Menteri berucap pada majlis pengumuman pembinaan tapak penjaja di Taman Merak dan Taman Puteri Gunung dekat Simpang Ampat di sini.

Turut hadir, Datuk Bandar MBSP, Dato; Azhar Arshad; mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Ketua Whip Parti, David Marshell; beberapa Ahli Majlis bagi MBSP serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Sementara itu, Azhar memberitahu bahawa pelantikan kontraktor bagi projek berkaitan telah dilaksanakan dan kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Ogos ini dan dijangka siap pada Februari 2024.

“Keseluruhan tapak penjaja yang akan dibina adalah sebanyak 65 unit iaitu 40 unit tapak di Taman Merak dan 25 unit di Taman Puteri Gunung.

“Tapak penjaja yang disediakan ini adalah menggunakan konsep terbuka berbumbung bersaiz 10’ x 10’ dengan pembinaan lantai konkrit tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik,” katanya.

Difahamkan, kos bagi pembinaan tapak penempatan penjaja di Taman Merak adalah sebanyak RM456,000 manakala Taman Puteri Gunung (RM237,000).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS