MBSP buka semula permohonan nombor patil TS bagi pemilik rumah kediaman kampung

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan semula nombor patil jenis Taksiran Sahaja (TS) khusus bagi rumah kediaman kampung yang tiada kelulusan pelan bangunan atau Sijil Layak Menduduki (OC) serta Borang F Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, permohonan pengeluaran nombor patil TS perlu dikemukakan oleh pemilik kediaman yang berstatus warganegara kepada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBSP sehingga 31 Disember 2020.

“MBSP keluarkan tiga jenis nombor patil bagi rumah-rumah kediaman kampung iaitu PMT (Permanent), TBP (Temporary Building Permit) dan TS tetapi nombor patil TBP dan TS telah dihentikan pengeluarannya.

“Walau bagaimanapun atas keprihatinan, maka nombor TS dikeluarkan semula khusus untuk rumah kediaman kampung sebagai hadiah kepada penduduk yang sentiasa menyokong program-program MBSP sehingga mencapai status bandar raya.

“Ia juga selaras dengan Visi Penang2030 untuk mempertingkatkan kemampuan rakyat memilik rumah sekaligus meningkatkan kualiti hidup penduduk di Seberang Perai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Menara Bandaraya MBSP, di sini pagi ini.

Turut serta, Ahli Majlis bagi MBSP, David Marshel dan Shuhada Abdul Rahim; Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod; ketua-ketua jabatan serta barisan pegawai MBSP.

Mengulas lanjut, Rozali menjelaskan bahawa kelulusan nombor patil TS disyaratkan kepada rumah kediaman kampung berkeluasan kurang daripada 2,000 kaki persegi dan terletak dalam kawasan perkampungan sahaja.

“Sejujurnya, hasrat MBSP adalah untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan penomboran rumah-rumah kediaman kampung untuk mendapatkan alamat tetap bagi tujuan surat-menyurat.

“Justeru, penduduk di Seberang Perai harus merebut peluang ini kerana permohonan yang dikemukakan tidak akan dikenakan sebarang bayaran dan sekiranya permohonan berjaya barulah kita (MBSP) akan kenakan caj sebanyak RM50 untuk pemilik kediaman terlibat,” ujarnya lagi.

Difahamkan, borang permohonan Nombor Patil TS boleh didapati secara percuma dengan cara memuat turun daripada laman web rasmi MBSP di www.mpsp.gov.my atau dapatkan daripada Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBSP Bandar Perda.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD