SEBERANG JAYA – Sempena sambutan ulang tahun ke-150 Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd., firma swasta tersebut menaja sumbangan RM13,500 bagi menjayakan Kempen Berkebun Di Rumah 2021 yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud memberitahu bahawa sejak tahun 2010 lagi firma tersebut menaja penganjuran Majlis Anugerah Sekolah Hijau MBSP, namun pertandingan tersebut terpaksa ditangguhkan pada tahun 2020 dan tahun ini ekoran negara dilanda pandemik COVID-19.
“Sehubungan itu, MBSP amat berterima kasih kepada Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd. dan kakitangannya atas sokongan padu yang berterusan dalam memperkasakan pendidikan dan kesedaran pemuliharaan dan pemulihan alam sekitar dalam kalangan murid-murid sekolah di Seberang Perai,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Berkebun Di Halaman Rumah 2021 yang dilangsungkan secara hibrid dari Menara Bandaraya MBSP di sini pada 28 Ogos 2021.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; dua Ahli Majlis, P. David Marshel dan Muhamad Suzuki Ahmad; serta Pengarah Urusan Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd., Carlos Cano.
Menurut Rozali lagi, Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bagi tempoh lima tahun bermula pada 2020 berhasrat untuk mewujudkan 100 hab kebun komuniti berkonsepkan pertanian bandar (urban farming) dengan aktiviti penanaman sayur-sayuran secara organik.
Selari dengan wawasan Kerajaan Negeri, Rozali memberitahu bahawa MBSP telah melaksanakan Program Kebun Komuniti di kawasan pentadbiran Seberang Perai.
“Sehingga kini, terdapat 30 komuniti terlibat yang mana 11 daripadanya adalah dari Seberang Perai Utara (SPU), 12 Seberang Perai Tengah, SPT (12) dan Seberang Perai Selatan, SPS (7).
“MBSP amat komited untuk membawa perubahan kepada rakyat Seberang Perai melalui pembangunan ekonomi yang memberi tumpuan kepada ekonomi pusingan (circular economy) dan ekonomi digital (digital economy).
“Justeru, kebun komuniti ini dapat ditingkatkan atau ditambah baik keupayaannya kepada pertanian bandar (urban farming) yang mempunyai skop yang lebih luas,” jelasnya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MBSP