MBSP garis 39 program, 58 aktiviti basmi amalan rasuah sepanjang tahun 2023

SEBERANG JAYA – Sebanyak 39 program dan 58 aktiviti telah digariskan melalui Pelan Tindakan Pelan Antirasuah Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sepanjang tahun 2023 sebagai komitmen dalam memerangi amalan rasuah.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata Pelan Tindakan Pelan Antirasuah dirangka bagi mencapai matlamat Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025 yang dilancarkan pada 26 November 2020.

“Pelan Antirasuah MBSP 2021-2025 menetapkan empat bidang keutamaan yang menjadi teras dalam usaha memerangi rasuah termasuk memperkukuhkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan mempertingkatkan keberkesan dan ketelusan perolehan awam.

“Selain itu, pelan ini juga mengandungi strategi bagi menginstitusikan kreadibiliti penguatkuasaan undang-undang serta memupuk tadbir urus baik dalam MBSP,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Integriti Peringkat MBSP dekat Menara Bandaraya di sini pagi tadi.

Datuk Bandar MBSP menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian Polisi Antidadah MBSP.

Turut hadir, WHIP Parti, Ahmad Rizal Abdul Hamid dan Muhamad Suzuki Ahmad; Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Roslan Deraoh serta Ketua Daerah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Seberang Perai Tengah, Suridah Saadi.

Pada masa sama kata Azhar, MBSP turut mewujudkan Polisi Antidadah dan Jawatankuasa Antidadah pada 10 November lalu dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan bebas najis dadah.

“MBSP juga melaksanakan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) yang bertujuan mendidik dan memberi pengetahuan kepada majikan dan kakitangan mengenai bahaya penyalahgunaan dadah di tempat kerja.

“Di samping itu, program ini turut melatih kemahiran dan dalam menguruskan pekerja yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah selain menyediakan program pemulihan yang berkesan,” katanya.

Mengulas lanjut, Azhar menjelaskan bahawa MBSP turut melaksanakan ujian saringan air kencing sebanyak lima kali dalam tahun ini melibatkan 312 kakitangan.

“Pelaksanaan ini dijalankan dengan Kerjasama AADK bagi tujuan program kesihatan dan mengesan penyalahgunaan dadah atau penagihan dadah dalam kalangan kakitangan lantikan baharu atau yang telah lama berkhidmat.

“Hasil keputusan ujian saringan air kencing yang dilaksanakan di MBSP adalah negatif,” katanya lagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD