SEBERANG JAYA – Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh yakin ‘wira oren’ Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mampu menggalas misi bantuan bencana banjir ke Baling, Kedah dengan sebaik mungkin.
Katanya, perkara tersebut berdasarkan pemerhatian beliau sejak beberapa misi bantuan banjir yang pernah digerakkan MBSP khususnya ke Kelantan pada tahun 2015 serta beberapa negeri lain seperti Pahang dan Selangor (2021).
“Anda ke sana sebagai wakil MBSP dan Pulau Pinang, walau apa pun sila utamakan keselamatan diri sendiri terlebih dahulu dan ikut arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.
“Tunjukkan bahawa Pulau Pinang sebuah negeri yang cintakan jiran (Kedah), kita membawa mesej kasih sayang kepada mereka yang sedang ditimpa kesusahan,” ujar beliau sebelum melepaskan konvoi MBSP ke Misi Bantuan Bencana Banjir ke Baling dekat Menara Bandaraya di sini hari ini.
Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBSP, Dato, Azhar Arshad; Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid; Ahli-ahli Majlis bagi MBSP dan wakil Mutiara Food Bank.
Difahamkan, MBSP menghantar bantuan terdiri daripada kekuatan 30 anggota tidak termasuk pemandu bersama enam jentera pelbagai guna.
Sementara itu, Azhar menyeru kepada ‘wira-wira oren’ yang terlibat supaya menjaga nama baik MBSP.
“Kita di MBSP peka, ingin salurkan bantuan tanpa mengira latar belakang asalkan boleh membantu pihak-pihak yang kerkesan.
“Tunjukkan yang kita pergi dengan tulus ikhlas untuk ringankan beban mereka, bantulah dengan ikhlas serta komitmen penuh silaturahim sesama manusia antara Kedah dan Pulau Pinang,” jelas Azhar lagi.
Oleh : WATAWA NATAF BIN ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD