MBSP hasrat perbanyak kawasan Eko Koridor bagi tingkatkan kualiti hidup penduduk

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhasrat untuk memperbanyakkan kawasan Eko Koridor bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, antara program yang bakal dilaksanakan di bawah inisiatif berkenaan adalah penanaman pokok dalam bentuk taman hutan atau forest park.

“Pada tahun 2020, kita (MBSP) akan memperbanyakkan kawasan Eko Koridor bukan sahaja di Permatang Nibong tetapi juga di semua kawasan bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk Seberang Perai.

“Melalui inisiatif ini penduduk boleh beriadah bersama keluarga dan pada masa sama dapat nikmati kehidupan yang lebih sihat.

Saidah Chat (kanak sekali) dipilih sebagai juara Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah Permatang Nibong.

“Selain menanam pokok sehingga membentuk ‘treebank’, kita juga akan menanam pokok buah-buahan sebagai kawasan food bank (bank makanan) pada masa akan datang,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara semasa ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Halaman Rumah Bersih dan Indah dekat Dewan Orang Ramai Permatang Nibong, di sini pada 29 Disember lalu.

 

Hadir sama, Pengerusi PUSPANITA MBSP, Datin Che Halimah Ujang; wakil syarikat South Island Garment Sdn. Bhd., Lim Kok Heng serta komuniti setempat.

Pertandingan kali ini menyaksikan Saidah Chat dipilih sebagai juara bagi pertandingan tersebut dan seterusnya layak membawa pulang hadiah berupa sebuah televisyen yang disumbangkan oleh Syarikat South Island Garment Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Rozali membertahu bahawa Permatang Nibong berpotensi diangkat sebagai destinasi ekopelancongan berdasarkan keunikan-keunikan yang terdapat kawasan tersebut.

“Di Permatang Nibong ada banyak aset boleh ditonjolkan seperti sawah padi yang luas, burung-burung hijrah serta penduduknya mempunyai kemahiran anyaman seperti tikar mengkuang dan kini menggunakan barangan upcycle (guna semula),” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : SUNARTI YUSOFF