BERAPIT – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menjadi pihak berkuasa tempatan pertama dalam negara mempunyai Unit Perubahan Cuaca dan Karbon Neutral bagi mendepani cabaran pemanasan global yang semakin membimbangkan.
Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, unit yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perbandaran, MBSP akan mula berfungsi pada awal Januari 2020.
“Fungsi unit ini adalah bagi memastikan lima strategi ditetapkan MBSP untuk mencapai bandar raya rendah karbon dilaksanakan dan dipantau supaya indikator yang ditentukan dapat dipenuhi.
“Bagi mencapai bandar raya rendah karbon, MBSP menentukan indikator iaitu mengurangkan penghasilan karbon diokasida (CO2) daripada 8.0 metrik tan per kapita kepada 4.65 tan metrik tan per kapita serta mengurangkan penjanaan sampah daripada 1.6 kilogram (kg) seorang kepada 0.8kg seorang menjelang 2022,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penjanaan Sistem Solar Anugerah Sekolah Hijau dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit, pagi ini.
Hadir sama, Setiausaha Bandaraya MBSP, Ir. Rosnani Mahmod; Ahli-Ahli Majlis MBSP; Pengetua SMK Berapit, Lim Geaik Hong; Pengurus Besar Jinko Solar Technology Sdn. Bhd. (Jinko Solar), SL Lee; Pengurus Jualan Bahagian Utara Pekat Solar Sdn. Bhd. (Pekat Solar), Sam Lee; ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai MBSP.
Difahamkan, MBSP telah menetapkan lima strategi untuk mencapai bandar raya mampan, iaitu Pengangkutan Hijau; Bangunan Hijau; Infrastruktur Hijau; Penghasilan dan Penggunaan Mampan serta Kehijauan dan Penyerapan.
Dalam pada itu, Rozali memberitahu bahawa SMK Berapit menjadi sekolah menengah pertama di negeri ini yang memasang sistem solar berkapasiti empat kilowatt serta mampu menjimatkan kos sebanyak RM2,443 setahun.
“SMK Berapit menjadi johan dalam Anugerah Sekolah Hijau 2018 anjuran MBSP dan layak mendapat hadiah pemasangan panel solar sumbangan Jinko Solar dan Pekat Solar.
“Justeru, sumbangan ini dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk mempelajari secara praktikal berkaitan tenaga yang boleh diperbaharui,” ujarnya lagi.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD