GEORGE TOWN – Masuk hari ke-17 penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca dekat Pulau Pinang menyaksikan tiada langsung kompaun dikeluarkan oleh kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata sejak 1 Julai lepas Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) hanya mengeluarkan 1,192 notis ketidakpatuhan, sementara 50 notis ketidakpatuhan lain dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
“Selepas kita mengeluarkan notis ketidakpatuhan kali pertama, kedua dan ketiga kepada individu berkenaan, baru lah kita mengeluarkan notis saman.
“Kita harap tidak buka saman, kalau tiada saman ertinya penduduk dapat memberi kerjasama (berhubung penguatkuasaan semula dasar ini),” jelasnya dalam sidang media di Komtar pada 17 Julai 2024.
Turut serta, Setiausaha Bandaraya MBPP, Sr. Cheong Chee Hong; Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBSP, Ahmad Zabri Mohamed Sarajudin dan beberapa Ahli Majlis kedua-dua PBT.
Menurut Mooi Lye lagi, penguatkuasaan semula dasar itu bukan terhad pada premis jenis kediaman dan komersil sahaja, malah industri dan hotel.
“Untuk premis industri dan hotel, operasi penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca ini akan dilaksana secara rawak,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Mooi Lye memberitahu bahawa MBSP sejak 1 Julai lepas telah melaksanakan 169 operasi penguatkuasaan semula dasar pengasingan sisa di punca sekitar kawasan pentadbiran Seberang Perai, sementara MBPP pula melaksanakan 20 operasi penguatkuasaan semula dalam tempoh sama.
Sementara itu, Ahmad Zabri memberitahu bahawa pihaknya akan melaksanakan operasi penguatkuasaan semula dasar tersebut pada hari Isnin hingga Jumaat, dengan mengambil kira sejumlah 167,000 premis bertanah di sekitar Seberang Perai.
Terdahulu, seusai menyertai Operasi Forensik Sampah MBSP di Taman Amansara Setia Fontaines, Kepala Batas, Mooi Lye mengumumkan bahawa Pihak Berkuasa Negeri akan menguatkuasakan semula dasar pengasingan sisa di punca.
Beliau berkata dasar itu sebenarnya dikuat kuasa sejak 1 Jun 2016, tetapi ditangguhkan semasa Pulau Pinang menempuhi era pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek pandemik COVID-19 pada tahun 2020.
Berdasarkan Undang-Undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Pemungutan Sampah Yang Boleh Dikitar Semula (MBSP) 2016, mereka yang didapati tidak melaksanakan dasar tersebut di premis masing-masing kelak berisiko dikenakan kompaun maksimum RM500 oleh PBT; serta denda tidak melebihi RM2,000; penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit bersalah di mahkamah.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN