MBSP kutip sampah dua pusingan sehari sebelum Aidilfitri – Datuk Bandar

Admin
dsc 0998

SEBERANG JAYA – Sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri iaitu pada 30 Mac 2025, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan mengutip sampah dalam dua pusingan iaitu 7.30 pagi hingga 3.30 petang dan 4.00 petang hingga 10.00 malam.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid memberitahu bahawa pada Hari Raya Aidilfitri yang dijangka pada 31 Mac 2025 pula, kerja-kerja mengutip sampah akan bermula pada 12.00 tengah hari sehingga selesai.

“Pada hari kedua Aidilfitri, kutipan dijalankan mengikut jadual asal yang ditetapkan seperti biasa.

“Perubahan jadual kutipan ini adalah selaras dengan dasar MBSP untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Seberang Perai terutamanya pada musim perayaan,” jelasnya semasa berucap dalam Mesyuarat Majlis Penuh Kali Ke-609 Bil. 3/2025 di Dewan Kenangan, Menara Bandaraya di sini pada 20 Mac 2025.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak di kawasan pentadbiran MBSP supaya dapat mengurangkan penjanaan sisa sampah, tidak membazirkan makanan serta mengamalkan kitar semula semasa menyambut Hari Raya Aidilfitri 2025.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS