MBSP lakar pelbagai kejayaan selepas empat tahun berstatus Bandaraya

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melakar pelbagai kejayaan dalam tempoh empat tahun selepas dinaik taraf menjadi Bandaraya pada 16 September 2019.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad berkata bahawa kejayaan yang dicapai oleh MBSP tidak diperoleh dengan mudah sebaliknya ia datang dengan kesungguhan, sumbangan dan pengorbanan semua pihak.

Dato’ Azhar Arsyad ketika berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Bandaraya Seberang Perai Ke-4 Tahun 2023 dekat Menara Bandaraya, di sini pada 16 September lalu.

“Saya menyanjung tinggi kesungguhan semua warga kerja MBSP di pelbagai peringkat yang sentiasa komited dan berdedikasi dalam menyelesaikan permasalahan termasuk ‘Wira Oren’ yang berada di lapangan tanpa mengira waktu.

“Pelbagai cabaran telah diharungi oleh MBSP demi menyediakan perkhidmatan yang terbaik buat penduduk Seberang Perai.

“Ekspektasi penduduk semakin mencabar dan sentiasa memerlukan perkhidmatan yang lebih cekap, efisien dan proaktif daripada pihak Majlis,” katanya semasa berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Bandaraya Seberang Perai Ke-4 Tahun 2023 dekat Menara Bandaraya, di sini pada 16 September lalu.

Azhar berkata, antara kejayaan yang dilakar MBSP termasuklah anugerah Mitigation and Adaptation Badge 2022 atas komitmen pihaknya terhadap isu penyesuaian perubahan iklim dunia bersama dengan lima bandar yang lain di Malaysia.

“MBSP juga menduduki tempat pertama (Kategori A) Kempen Hari Tanpa Tunai bagi Jabatan dan Agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang anjuran Bahagian Kerajaan Tempatan dan Payment Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).

“Selain itu, atas usaha yang jitu daripada Jabatan Landskap, MBSP telah memenangi tempat ketiga Anugerah Pertandingan Inovasi MALA 2.0 Piala YB Menteri KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) pada 12 Mac 2023,” jelasnya.

Pelbagai persembahan memeriahkan acara sambutan.

Tambah Azhar, MBSP juga berjaya mengekalkan penarafan 5 bintang dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2022.

“Pada 28 Februari lalu, MBSP juga berjaya merangkul Anugerah Bandar Mampan dan Anugerah Bandar Bahagia yang dianjurkan oleh KPKT dan disampaikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang melalui Mesyuarat Perancang Negeri.

“Di samping itu, MBSP telah memenangi Anugerah Emas di Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2022 pada 18 Januari 2023,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Azhar menyatakan bahawa MBSP juga telah menerima pelbagai anugerah inovasi dalam Anugerah Inovasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2022 yang telah diadakan pada 8 Disember 2022.

“Antaranya, merangkul tempat pertama melalui projek Inovasi Lingkaran Bourgainvella bagi Anugerah Inovasi Kategori Bukan ICT dan juga tempat pertama bagi Anugerah Inovasi Kategori ICT melalui Inovasi Aspire Seberang Perai.

“Selain itu, MBSP memperoleh tempat kedua dan ketiga bagi Kategori ICT melalui Inovasi Sistem Pengurusan Lesen Interaktif dan Bersepadu (SPEEDBiz) dan Inovasi Sistem E-Clocking BKK.

“Dalam pertandingan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), MBSP telah mendapat tempat kedua untuk Inovasi SISKEN dan diumum sebagai pemenang tempat ketiga bagi Pertandingan Innovation Blast Teknikal melalui Inovasi Visible Parking,” ulasnya lagi.

Justeru, beliau menyeru agar semua pihak dapat bekerjasama supaya segala tanggungjawab yang direncanakan dan perancangan masa kini dapat dilunaskan dengan lebih pantas, telus dan efisien.

“MBSP akan sentiasa memastikan segala usaha yang dilaksanakan adalah seiring dengan hasrat Penang2030.

“Oleh itu, marilah sama-sama kita berganding bahu untuk menjadikan bandar ini selesa untuk didiami, selesa untuk bekerja, menjadi tarikan pelaburan, bandar raya pintar dan rendah karbon serta mencapai matlamat “Seberang Perai Aspirasi Bandar Masa Hadapan”, serunya.

Difahamkan, pelbagai acara dianjurkan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-4 MBSP untuk mendekati rakyat termasuklah pertandingan dan permainan, promosi penguruangan kompaun,, car boot sale, jualan pokok, kendera saji dan lain-lain.

Kemuncak acara sambutan, penduduk disajikan dengan pelbagai persembahan seperti boria, tarian tradisional, persembahan daripada artis MBSP dan artis terkenal tanah air serta pertunjukan bunga api.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS